21.9.09

244 - belasungkawa

khususnya kepada Allahyarham Abdul Halim @ Abdul Khalid bin Noordin @ Udin, wan (datuk) aku yang telah meninggal dunia pada 26 Ramadhan 1430 yang baru lepas.

umumnya kepada semua muslimin muslimat yang telah pergi meninggalkan kita dan tidak berpeluang lagi untuk melihat Ramadhan yang akan datang.

Al-Fatihah.

9.9.09

243 - adab menerima khabar positif

dan kadang-kadang, apabila kau sibuk berfikir yang kau ialah orang paling malang di dunia, kau terlupa yang ada orang yang lebih teruji dari kau. kau tahu kisah Nabi Ayub?

dan apabila kau bertenang dan berfikir, sebenarnya kau sedang selangkah maju ke arah khabar positif.

mana aku tahu perkara ini? aku tidak tahu, aku percaya.

5.9.09

242 - adab menerima khabar negatif

jika kau menerima khabar negatif dari segi emosi (yang belum pasti positif negatifnya dari segi rasional), kau harus bersabar dan terimanya dengan tenang.

walaupun ketika itu kau sedang ditimpa penyakit yang memang menghantui kau sejak sekian lama, yang juga memberi impak negatif kepada emosi kau, (dan sebenarnya setiap penyakit itu ialah kifarah dosa) maka kau cubalah untuk terus bersabar.

dan ada tikanya kemudian kau ditimpa khabar negatif lagi, pada masa itu, silalah kau bersabar lagi. dan jika kau rasa jantung kau hampir meletup dan hati kau hampir cair, itu hanyalah permainan minda kau.

kelakar bukan kalau kemudian kau ditimpa khabar negatif seterusnya pula? realiti sememangnya ialah perkara yang cukup kelakar, lawak yang kejam.

selamat tinggal maruah dan kepercayaan diri sendiri. semoga berjumpa lagi.

2.9.09

241 - bayangan seorang darth vader

percaya atau tidak, semasa awal zaman persekolahan asrama dulu aku ialah seorang yang baik dan naif. juga berbudi pekerti dan selalu dibuli.

hal ini berlarutan sehinggalah suatu hari, ada seorang rakan berkata, (lebih kurang begini), "ada empat jenis orang dalam peringkat pergaulan kita ni, iaitu (mengikut peringkat pangkat sosial) jahat bijak, skema bijak, jahat bodoh, dan skema bodoh."

"kau dan aku tahu kau tidak bijak," sambungnya lagi. aku tidak mengiakan, juga tidak menafikan. "takkan kau mahu jadi skema, dan bodoh?"

kau pernah tengok filem dwi-trilogi starwars? keadaan di atas adalah sama seperti semasa darth sidious menghasut anakin skywalker untuk memasuki kultus sith yang gelap.

ya, kisah aku seterusnya lebih kurang sama dengan kisah darth vader, yang masih kurang hanyalah light sabre.

1.9.09

240 - jika aku seorang idealis

jika kau cuba hidup dengan menjunjung konsep idealisme kau, kau akan mengalami banyak cabaran untuk mendaulatkan idea kau, apatah lagi jika kau belum mengenal pasti idealisme kau.

dan akhirnya, kau ada dua pilihan, samada menjadi pragmatis seperti orang jelata, atau keluar dari kokun minda kebanyakan, memandang ke atas dan beridealisme.