30.6.06

Influenza dan krisis not

minta maaf kepada rakan-rakan sekalian yang tertanya-tanya kemana menghilangnya penulis jurnal ini sepanjang dua hari lepas. sebenarnya, penulis baru sahaja pulang daripada menghadiri perjumpaan alumni sekolah penulis di tanah tinggi Genting. buat masa sekarang, penulis tidak dapat berjauhan dengan kotak tisu kerana mengalami Infuenza akibat tidak mampu menahan kesejukan di puncak tanah tinggi Genting. sila ucapkan semoga cepat pulih ya penulis. penulis sedang berkira-kira samada mahu menayangkan gambar-gambar di bandar keriangan itu di jurnal ini atau tidak...

berikut ialah monolog dalaman penulis:
urm, dimana aku nak cekau rm200 ni, kos sara hidup amat tinggi di Genting tu, aku sangka mahu guna baki wang perbelanjaan untuk mencukupkan rm200. tengok-tengok, habis wang yang aku simpan untuk tujuan ITU semasa berada di atas sana, (penerangan: aku tidak berjudi di atas sana, wang tersebut digunakan untuk tambang, makanan dan lain-lain keperluan asas di atas sana), ibarat dirompak secara senyap di puncak itu, huhu. apa aku nak buat ni? membuat pilihan untuk meminjam? atau patutkah aku menarik diri? tarik diri? teh tarik? urm, dah lama tak minum teh tarik bersama rakan-rakan di hadapan skrin besar...

kita sebagai manusia hanya mampu merancang dan berusaha, Allah yang berkuasa menentukan, bukankah memang begitu sejak dari dahulu?

26.6.06

ada apa dengan logika logam psikosis?

aku pernah bertanya kepada kingbinjai, "wahai kingbinjai, siapakah yang paling kacak antara semua penulis jurnal?" lalu kingbinjai menjawab "tentulah sekali pemilik logika logam psikosis yang mulia."

baiklah, teruskan dengan perkara utama. pada suatu hari sedang aku melayari jurnal kingbinjai yang buat masa sekarang penuh dengan puisi-puisi sadis dan tragis, jari jemari aku secara spontan berasa gatal, lalu menaip "king, cerita sikit tentang slogan kau tu. macam menarik je," di kotak borak jurnal dia. aku tidak menyangka ayat semudah itu akan berubah menjadi begini lalu memakan diri. kalaulah saya bersabar...

aku telah di'tag' oleh kingbinjai dengan permainan terbaru, iaitu 'tag slogan.' berikut ialah peraturan yang telah disusun atur oleh kingbinjai sendiri.


1. Yang utama, mestilah tag mereka yang ada slogan blog.

2. Namun, boleh juga tag sesapa saja, jika takde slogan blog, bloggers terbabit kene terangkan slogan hidup mereka. Jika takde slogan blog atau slogan hidup, cari satu! hahahaha

3. Bloggers yang kene tag, mesti menerangkan mengenai slogan mereka dan mesti mepunyai 2 ciri :
    3.1. Sejarah (asal usul slogan)
    3.2. Maksudnya
4. Bloggers yang kena tag, mesti 'includekan' link orang yang tag mereka di dalam entry terbabit.
sebenarnya, aku sendiri pun kurang pasti, apakah slogan jurnal aku? adakah logika logam psikosis itu sebuah tajuk ataupun slogan? bolehkah ia memegang dua jawatan pada masa yang sama? umpamanya seperti menjadi perdana menteri dan menteri kewangan sekaligus?

setelah aku merujuk jurnal pencipta tag ini, aku membuat keputusan bahawasanya, logika logam psikosis bertugas sebagai tajuk dan slogan untuk jurnal ini buat masa yang sama. fuhh, panjang sungguh prakata penulisan kali ini.



Sejarah slogan
semasa mula-mula menulis jurnal dan masih menggunakan Bahasa Inggeris sebagai penghantar, aku menggunakan slogan Synthetic Plastic Medula Oblongata (Medula Oblongata yang diperbuat dari Plastik Sintetik), aku menggunakanya sebagai perlambangan tentang luahan pemikiran yang palsu, kerana kebanyakan hasil penulisan aku semasa itu dipengaruhi daripada medium pop dan suka ramai.

setelah menulis dalam beberapa bulan, aku semakin banyak menceritakan tentang kehidupan aku, tentang rasa ketidakpuasan hati aku terhadap berbagai benda. banyak carutan yang aku luahkan ke atas jurnal ini. lalu aku menukar slogan atau tajuknya kepada ╪ $pt ¡t δuT♥ ╪ yang bermaksud luahkan/ludahkan ia. ia juga merupakan salah satu tajuk lagu dendangan kumpulan kugiran kesukaan aku, Slipknot.

kemudian, setelah lama menjadi seorang yang leka mencarut dan asyik merungut, aku kembali sedar. perkara ini juga dipengaruhi oleh beberapa perkara yang menjadikan aku amat JIWA KACAU (heh, promosi sekejap). aku sedar yang aku hanya hidup didalam duniaku sendiri selama ini. lalu aku membuat keputusan untuk kembali kepada akar, dan teruskan mencari identiti diri aku yang sebenar. rujuk kata Pak Khalid dalam penulisannya bertajuk Eureka! yang berbunyi,

"Puas saya berkelana di alam maya. Puas saya mencari, meninjau dari satu blog ke satu blog. Saya ingin mencari adakah orang yang percayakan Melayu. Bahasa, bukan bangsa. Saya baca blog budak-budak Melayu yang kononnya besar di PJ atau Subang dan tengok wayang di Mid-Valley dah murtad bahasa. Tulis dalam bahasa Inggeris dengan bahasa dan isi macam remaja masih hingus meleleh. Penat saya mengintai-ngintai blog-blog mereka yang namanya tidak memakai bin atau binti kalau-kalaulah ada yang memuntahkah kemarahan, atau mengubah ayat-ayat cinta atau membedah penyakit masyarakat dengan menggunakan bahasa Raja Ali."
sejak itu, aku mula berjinak-jinak menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar dalam jurnal aku, namun aku masih banyak mengamalkan penggunaan perkataan slanga dalam jurnal ini. kemudian muncullah Encik Jigo semasa aku sedang membuat urusan sebuah projek dan dia ialah antara penaung dalam projek itu. dia menulis,

"...Sakit mata aku baca bila 'buat' ditulis 'wat', 'rasa' ditulis 'rase'. Walaupun bold. Maaf! Aku bukan penganut realisma membabi buta. Nama khas patut dihurufbesarkan. Begitu juga huruf pertama setiap ayat..."
ayat di perenggan pertama itu amat menarik perhatian aku, ayat realisma membabi buta itu. aku mula bertukar sedikit demi sedikit, namun, buat masa sekarang, aku masih memilih untuk tidak menggunakan huruf besar bagi huruf pertama setiap ayat, perlambangan yang aku masih merendah diri.

setelah aku melalui semua itu, akhirnya aku muncul dengan nama logika logam psikosis! yeah! apakah maksud logika logam psikosis? aku akan ceritakan di bahagian maksud di bawah.

pada hari ini, setelah di'tag' oleh kingbinjai, aku membuat keputusan untuk melengkapkan tajuk jurnal ini dengan penambahan beberapa ayat. misteri makhluk logam liut bertopengkan badut yang ganas, itulah pelengkap kepada tajuk jurnal aku. oh, mungkinkah ianya lebih sesuai dipanggil sebagai slogan?



Maksud slogan
aku akan terangkan satu persatu, bermula dengan ayat logika logam psikosis, kemudian diikuti dengan misteri makhluk logam liut bertopengkan badut yang ganas.

logika di dalam logika logam psikosis ialah sebuah metafora yang merujuk kepada logik, atau pemikiran.

logam itu ialah perlambangan terhadap diri aku, aku mudah teruja apabila didedahkan kepada sesuatu perkara yang asing dan menarik. logam Caesium yang meletup apabila dikenakan air, atau logam Rubidium yang terbakar apabila didedahkan kepada udara, begitulah juga, logam Amanitium yang berasa teruja secara mendadak apabila didedahkan kepada perkara asing yang menarik minatnya.

psikosis itu bermaksud 'berkaitan psiko.' jangan salah faham, aku tidak pernah mengaku yang aku ni seorang psiko. aku menambah perkataan itu hanyalah sebagai tanda peringatan terhadap kata-kata yang selalu disebut kepada ku oleh rakan-rakan. antara contoh seperti,
Erwan: ko ni pingu yang psiko la cho!
Chin: Gila sex tul la ko ni cho.
aniD: Sex Maniac!
mereka sekadar bergurau, usahlah ambil kisah tentang perkara-perkara sedemikian.

misteri makhluk logam liut bertopengkan badut yang ganas, aku rasa ianya boleh diterjemah terus, mungkin hanya beberapa perkataan yang perlu diterangkan sedikit.

liut - dari pengalaman aku diatas, tentu kamu semua dapat melihat yang aku ni mudah terpengaruh dengan sesuatu. ianya boleh disifatkan seperti keliutan logam, yang bererti boleh diubah-ubah bentuk, walaupun tegar.

bertopengkan badut - aku gemar menggembirakan dan menyenangkan orang lain walaupun pada masa yang sama aku berasa tidak senang di dalam hati.

yang ganas - aku juga seorang yang amat baik hati namun selalu disalahtafsir oleh orang lain kerana rupa luaran aku yang agak ganas, dan mungkin kadangkala sifat aku yang juga agak ganas. aku baik hati sebenarnya =)

yeah, tamat juga akhirnya kerja aku menjawab tag kingbinjai ni. panjang gila ni. ada sesiapa mahu baca ke? ah, kingbinjai, aku paksa kau baca apa aku tulis. aku menyebarkan tag ini kepada:

Ashadina (sebab dia sangat rajin menulis)
Shai (sebab dia pernah menyebarkan virus tag kepad aku suatu masa dulu)
Shark (sebab dia telah merampas takhta aku dari hati si dia, huhu)

24.6.06

bersama cerita bertiga

logika logam psikosis genap setahun
Tahun lepas, pada tarikh yang sama, aku sedang menulis di dalam sebuah jurnal blogspot bertajuk Synthetic Plastic Medula Oblongata, renteten penghijrahan aku dari blog friendster. Hari ini, walaupun sudah bertukar nama dan bahasa penghantar, jurnal tersebut masih aktif menerima penulisan-penulisan aku dan komen-komen agung para pelawat.

penawar penyakit beraksi
yeah, akhirnya racun itu telah disembuhkan penawar. aku telah sembuh, dan harap-harap aku akan kekal sihat buat masa yang lama lagi dengan bantuan penawar itu. terima kasih Ya Allah kerana menyembuhkan penyakit aku melalui penawar itu.

fajar itu berlalu
awal pagi tadi, selepas aku menyaksikan kemenangan pertama pasukan 'Les Bleus' selepas perlawanan akhir piala dunia 1998, aku bercadang ingin bersolat subuh secara berjemaah di surau yang berdekatan. pukul 5:30 AM, aku sudah bersiap dengan kain pelikat dan sweater ku. Aku menunggu dalam bilik ku untuk laungan azan oleh bilal yang bertugas. "Lambatnya," bisik hati ku. "Kalau rehatkan mata sekejap, sempat ni," kata diriku yang berjaga sepenuhnya sejak 12 jam yang lepas.

"Bangun-bangun, buatlah benda yang bermanfaat sama, ... (aku tidak ingat atau dengar yang lain-lain)," aku dikejutkan oleh leteran itu. aku yang masih bingung mula tidak senang dengan pagi yang dimulakan dengan leteran, tiba-tiba aku teringat sesuatu, aku terus melihat jam di telefon bimbitku, "Ah, sudah pukul 8:30 AM," aku bermonolog dalam hati. terlepas subuh nampaknya hari ini, apatah lagi subuh berjemaah, "masih ada masa, cuba lagi esok," aku cuba menyedapkan hati sendiri.

Betul, sumpah tak sengaja terlepas!

22.6.06

tiada penawar?

setiap penyakit itu ada penawarnya. perkataan penyakit disini boleh dilihat dari pelbagai konteks dan perspektif. antara contoh adalah dari perspektif psikologi (tekanan, kesepian, dan lain lain). apa akan jadi kepada pesakit jika penawar itu tidak mahu menawarkan sakit yang dialaminya? berapa lamakah pesakit itu akan mampu bertahan? apakah akibatnya jika dia kehilangan daya untuk bertahan? adakah anda berminat untuk mengetahui jawapannya? mari bersama-sama kita bereksperimentasi, kita tunggu dan lihat apa akan jadi kepada aku...

sekadar gambar hiasan

21.6.06

ke'tidakmenang'an mereka!

yeah, aku amat gembira, pasukan yang aku tidak suka itu tidak menang juga akhirnya. aku amat gembira sekali. aku sebenarnya tidak pernah mahu menulis tentang piala dunia, kerana terlalu ramai sudah bercerita tentangnya, dan kisah perlawanan sudah tentu sama, namun aku merasakan aku perlu berkongsi kegembiraan ini dengan kamu semua. aku mungkin akan bercerita tentang suasana kehidupan aku semasa demam piala dunia suatu hari nanti, namun itu perlu tunggu selepas tamatnya piala dunia. buat masa sekarang, mari meraikan ke'tidakmenang'an pasukan yang aku tidak suka itu. yeah!

klik untuk gambar yang lebih jelas


kegembiraan yang tidak berkekalan
steven gerrard berjaya menjaringkan gol pendahuluan kedua England


pengakhiran sebuah pendahuluan
larsson meraikan gol penyamaan yang memansuhkan kemenangan pasukan England


gambar-gambar sekitar perlawanan: FIFAworldcup.com photo gallery

peringatan buat diri sendiri: semalam semasa menyaksikan perlawanan antara pasukan tuan rumah dan pasukan ketiga kuat amerika latin, anda terlupa membayar untuk roti kosong berkuah dhal dan sambal. sila bayar secepat mungkin agar anda tidak lupa dan sekaligus mengelakkan daripada mempunyai darah daging yang terdiri daripada sumber yang haram.

18.6.06

tidur yang dipermainkan 2

kami berkumpul beramai-ramai dalam kegelapan malam itu dan sedang diberi arahan oleh seorang yang ku agak berpangkat ketua. senjata sedang di agih-agih kepada kumpulan kami. aku mendapat senjata yang aku agak seperti senapang. kemudian datang ketua kepada ku dan mengambil senapangku dari sisiku. dia memberikan sejenis peralatan perak persis 'lighter' berjenama 'zippo', bezanya cuma ada butang-butang berwarna hitam yang banyak di sisinya. aku menunjukkan muka yang berkerut seolah-olah meminta penerangan kepada ketua. "missile launcher," katanya ringkas namun berjaya menjawab persoalan yang berada di benak aku. tidak lama kemudian, ketua memberi arahan supaya semua bersedia. kami lantas bersiapsedia di tempat masing-masing.



setelah berjaya mencari tempat yang sesuai dan bersedia, barulah aku mengenalpasti tempat itu, itu ialah fasa 9 taman seri gombak, kawasan perumahanku yang lama. fajar sudah datang dan pergi, kami masih menunggu dalam keadaan berjaga-jaga. pada suasana seperti pukul 8 pagi, maka, muncullah mereka. tiga ekor raksasa berwarna kelabu gelap muncul dan mula mengganas. semua sudah mula menyerang raksasa itu dengan senjata masing-masing. aku menyeluk kocek ku untuk mengambil senjata yang dihadiahkan oleh ketua. ah, aku mencari-cari di segala rantau kocekku, tidak jumpa. raksasa sudah maju setapak ke hadapan. aku masih belum berjaya mendapatkan senjata ku. lantas, aku menggunakan kuasa seperti 'bullet time' dalam 'matrix,' semuanya tidak bergerak, hanya aku seorang yang bergerak, namun aku masih belum berjaya mencari senjata berwarna perak hitam itu...

aku membuka mataku, kepalaku berasa pening-pening lalat, tidak lama kemudian, aku senyum keseorangan. sudah 2 kali dalam masa 2 hari aku bermimpi menjaga keselamatan bumi, jika semalam aku bermimpi sebagai seorang penyelamat bumi yang mampu terbang berusaha menyelamatkan kawasan damansara utama, hari ini aku bermimpi sebagai tentera penolong 'lelaki ultra' (mungkin) yang mempertahankan perumahan taman seri gombak. adakah ini bermaksud aku masih belum matang dan berfikiran kanak-kanak atau daya imaginasiku yang terlalu tinggi? hahah.

*gambar yang disiarkan adalah menghampiri keadaan sebenar dalam mimpi penulis, gambar yang disiarkan telah sedaya upaya disediakan menghampiri dengan mimpi penulis. sebarang kelainan adalah berpunca daripada kelemahan penulis. sila klik gambar itu dan besarkan untuk melihat dengan lebih jelas. penulis menggunakan perisian 'microsoft paint' untuk menghasilkan gambar tersebut. penulis tidak menggunakan format 'jpeg' kerana ini akan merosakkan media 'bitmap' penulis, penulis menggunakan fomat 'graphic interchange format (gif)' sebagai ganti.

15.6.06

logam yang psiko?

logika logam psikosis telah melalui suatu tempoh masa yang agak lama. penulisan aku yang pertama dalam jurnal ini bertarikh 24.06.2005. lagi 9 hari, genaplah setahun usia jurnal ini. sebelum menulis di sini, aku hanya menulis di blog friendster. Jurnal ini telah melalui anjakan paradigma secara beransur-ansur sejak dari zaman ia bertajuk 'Synthetic Plastic Medula Oblongata' kepada zaman '╪ $pt ¡t δuT♥ ╪' kemudian kembali kepada akar, 'logika logam psikosis'.


Baru-baru ni, logika logam psikosis mendapat tempat ke 18 dalam kategori Msjbox paling popular.


logika logam psikosis juga pernah mencatatkan kehadiran lima pembaca dalam satu masa yang sama.


logika logam psikosis telah dilihat lebih seribu kali, gambar ini aku rekodkan lama dulu, sebelum aku menggunakan nama logika logam psikosis lagi. Aku sudah tidak menggunakan 'counter' lagi kerana terlalu kerap berlaku masalah.

Malahan ada lagi pencapaian logika logam psikosis yang terpaksa aku sembunyikan buat masa sekarang untuk sebuah kejutan. heh. Semoga logika logam psikosis menjadi semakin maju di masa akan datang, Majulah penulisan untuk negara. Yeah!

virus blog merebak lagi

Aku mendapat virus lagi, kali ini oleh encik shai. sebenarnya aku sudah menjawab virus ini sebentar tadi, akan tetapi, 'internet explorer' menghadapi masalah. terpaksalah aku menterjemah sekali lagi. penatlah macam ni.

Here are the rules:
1. The tagged victim has to come up with 8 different points about his/her perfect lover.
2. Have to mention the gender of his/her perfect lover.
3. Tag eight other victims to join this game and leave a comment on their blog.
4. If you are tagged the second time, there is NO need to do this again.
5. Lastly, most importantly, HAVE FUN DOING IT.


Berikut ialah peraturannya:
1. Mangsa yang mendapat tag virus ini mestilah menyenaraikan 8 perkara tentang kekasih idealnya.
2. Mangsa perlu memberitahu jantina kekasih idealnya.
3. Mangsa perlu menyebarkan virus tag ini kepada 8 orang lain dan tinggalkan pesanan di jurnal mereka.
4. Jika kamu mendapat virus tag ini buat kali kedua, sila abaikannya.
5. Terakhir sekali, dan juga yang paling penting, JAWABLAH TANPA WAS WAS.


My Perfect Lover Must:
Kekasih Ideal Saya Mestilah :
1. Lahir dan membesar di Melaka
2. Pernah berada di penghujung benua Asia
3. Mempunyai sekurang-kurangnya dua variasi nombor telefon yang bernombor 01****39*5
4. Enggan melihat tayangan wayang gambar bertajuk 'Cars' dengan saya
5. Bijak berbahasa Inggeris
6. Pernah menjejakkan kaki di kawasan 3 tambahan, BBB
7. Mempunyai seorang ayah yang pernah merotanku
8. Lahir pada hari yang genap dan bulan yang ganjil


this TAG goes these 8 people:
virus tag ini disebarkan kepada 8 orang ini:
1. Murs <-- tak sabar sangat, heh.
2. Shark
3. Azza
4. Aloque
5. Ien
6. Cuya
7. Asha
8. Eyah

13.6.06

virus blog merebak

virus ini sengaja dihantar oleh saudara murs. adakah patut perbuatan beliau ini? apakah implikasinya kepada saya, mereka dan masyarakat?

Nak kawin dengan siapa?
dengan 'dia'.

Kawin dengan orang negeri mana?
soalan ni cam mencabar minda, tempat lahir ke tempat tinggal? dua-dua aku tahu.

Kenapa?
Kenapa apa? kenapa soalan tadi mencabar minda? hahah.

Kalau sebaliknya ?
Jangan la macam ni, aritu kata nak kawin.

Dah ada calon ke ?
Calon sudah ada, dialah di hati.

Bila nak kawin ?
Tentatifnya 2011, harap-harap jadilah.

Hantaran kawin ?
Dia mahu Ringgit Malaysia 11,111.11, ok ke ek?

Virus ini di sebarkan pada
-Junaidix
-Shai

sekian...

12.6.06

sepupu kanak-kanak ku.

maafkan aku kerana sudah lama tidak menulis di sini. aku amat sibuk di kebelakangan ini, kerjaku, piala dunia, dll. terlalu banyak yang aku ingin tulis di sini, namun aku berpendapat tiada orang sukakan bacaan yang berjela-jela, apatah lagi dengan gaya tulisan yang amat biasa. aku akan bercerita sedikit demi sedikit tentang hidupku sejak akhir-akhir ini.

seperti kebiasaanya aku di kampung, aktiviti harianku dipenuhi dengan bermain bersama kanak-kanak, bermain bersama kanak-kanak, dan bermain bersama kanak-kanak. tidak lupa juga aktiviti rutin aku seperti, makan, tidur, dan mandi.oh, ada lagi satu perkara aku buat di sana, mengisi bekas dakwat printer maklang ku. malangnya, baju aku yang amat aku sayangi telah terkena setitik dakwat hitam printer tersebut, dan aku tidak berjaya menghilangkannya.


ini ialah sepupuku Batrisya, anak pakuda aku. dia amat menakuti diriku. tetapi, dia juga seorang yang suka bergaya, apabila aku sedang menangkap gambar dia, kerjasama yang diberikannya amat memuaskan.


ini ialah Amni, satu-satunya anak gadis maklang aku. dia mempunyai tiga orang abang. dia amat garang , dan suka menangis, macam bayi.

ini ialah anak maklangku yang kedua, Abdul Hannan, aku ada beri nama gelaran yang berakhir dengan (...)udin untuk abang dan adiknya. namun gelaran itu seperti tidak sesuai dengan namanya.


ini ialah sepupu klon Abdul yang pertama, dan juga anak maklang ku yang sulung. Namanya ialah Abdul Jabbar. Aku memanggilnya dengan nama Jabbarudin. Dia ialah sepupuku yang paling kelakar. Dia juga merupakan sepupu kanak-kanak yang paling rapat denganku. hahaha~


Abdul Wafiy atau nama gelarannya yang aku beri, Wacikudin ni ialah seorang budak yang tidak pernah duduk diam. amat susah bagi aku untuk mendapatkan gambar penuh mukanya. ini sajalah yang termampu aku dapatkan untuk tatapan umum. Dia juga, seperti Batrisya, amat takutkan aku, namun apabila aku berjaya merasuah dia sebiji 'Choclairs' , dia telah menerima aku sebagai seorang manusia biasa yang tidak perlu ditakuti.

*Gambar resolusi rendah ini diambil menggunakan telefon bimbit Sony Ericsson T601 aku, harap maaf kerana ia tidak mungkin menyamai mutu kamera anda. Jika anda mahu gambar-gambar yang dipaparkan di sini lebih menarik dan cantik, sila taja telefon bimbit Sony Ericsson W810 demi jurnal ini.

2.6.06

144 Putaran Jarum Pendek

Esok aku akan pulang ke kampung halamanku di Kedah Darul Aman. Sudah lama aku tak pulang. Berapa ramai sepupu aku yang baru lahir aku masih belum lihat. Anak Maklang ku, Amni, anak Pakuda ku, Damia, mereka inilah golongan pelapis baru kanak-kanak kecil yang akan membuat bising di Hari Raya, Kenduri atau apa-apa sahaja nanti.

Sepupu klon 3 Abdul ku, Jabbar, Hannan, dan Wafiy. Bagaimanakah mereka sekarang? Semakin nakal? Bagaimanakah mereka beradaptasi dengan hidup tanpa ayah? Aku akan cuba untuk bermain dengan mereka tanpa menakutkan mereka kali ini atau membuat mereka menangis.

Dalam masa beberapa hari di sana,(6 hari tak silap) aku tidak akan berupaya untuk meng'update' blog ini akibat kekurangan perkakasan dan kemudahan untuk aku berbuat sedemikian. Perkara ini masih dalam perancangan, mungkin kami akan membuat persinggahan selama sehari di Pangkor, mungkin akan jadi seminggu, mungkin juga tidak. Walau bagaimana pun, aku berharap umur ku cukup panjang untuk menyambung penulisan ku ini. Semoga berjumpa di lain hari. Minta maaf atas salah silapku jika ada. Salam kepada kamu semua sehingga terbitnya fajar satu lagi.

yang benar,
[Amanitium]