31.12.06

pisang kuning dibawa belayar

malam itu malam raya...

malam itu juga antara malam-malam terakhir aku dapat menyaksikan epl bersama brotherhood of hooligans dan beberapa rakan lagi.

malam itu kami telah bershisha bersama-sama. perisa pisang. pisang berwarna kuning, sama seperti warna pasukan pilihan aku malam itu. aku juga ada rakan bernama pisang, dia sedang belajar di sheffield sekarang. pasukan pilihan aku sedang berjuang melawan pasukan dari sheffield. dunia ini banyak kebetulan....

hooligans brotherhood (BOH) ada enam orang. malam itu, seorang daripada mereka berada di australia, seorang daripada mereka sedang menjaga saudara di rumah, dan seorang lagi hilang entah kemana.

malam itu malam raya...

malam itu juga antara malam-malam terakhir aku dapat menyaksikan epl bersama brotherhood of hooligans dan beberapa rakan lagi.

malam itu, pukul 11 malam, ada lima orang di satu meja. tiga BOH dan dua rakan.

malam itu, pukul 1 pagi, ada tiga orang di satu meja. satu BOH dan dua rakan.

pasukan berpakaian kuning yang badi kalah malam itu. sembilan daripada kesebelasan utama tidak bermain.

malam itu malam raya...

malam itu juga antara malam-malam terakhir aku dapat menyaksikan epl bersama brotherhood of hooligans dan beberapa rakan lagi.

aku bermain fantasy football. bagi mereka yang tidak tahu permainan itu, ianya ialah seperti judi secara tak langsung (tapi tetap judi). kau beli pemain dan jual pemain, sama seperti saham, dan kau seperti pengurus pasukan. kalau pemain kau bagus malam itu, markah kau tinggi.

amaran: untuk dibuka oleh mereka yang mengikuti epl sahaja






aku telah buang lampard, dan gantikan dengan gilberto silva. dia banyak gol sejak akhir-akhir ini. aku beri pangkat kapten pasukan kepada persie daripada drogba. dan akhirnya lampard gol, gilberto silva tidak. drogba gol, persie tidak.



perjudian aku berkeputusan teruk malam itu, pasukan pilihan aku kalah malam itu, malam itu juga antara malam-malam terakhir aku dapat menyaksikan epl bersama brotherhood of hooligans dan beberapa rakan lagi.

dan apabila aku pulang, aku lihat cengkerik yang aku sediakan sebagai makanan kepada Jack sedang menyantap Oothecea (telur mentadak) dengan lazatnya....

malam itu malam raya...

nota kaki : kepada mereka yang fikir aku hanya mementingkan bola dan tidak mengucapkan selamat hari raya Aidil Adha kepada mereka, aku ingin ucapkan selamat hari raya Aidil Adha. selamat tahun baru juga bagi mereka yang menyambutnya.

28.12.06

makhluk kejam menyerang!

masa pun berlalu, dan tidak lama lagi. aku akan meninggalkan kamu semua. bila difikir-fikirkan semula pun, aku hanya mula mengenali kamu semua dalam masa sembilan bulan ini. sembilan bulan yang bertemakan penantian ini.

dalam masa sembilan bulan ini aku banyak membaca kisah realiti hidup yang dipaparkan di blog kamu semua. apalah sangat yang aku dapat simpulkan daripada secebis masa membaca tulisan kamu semua. kita semua ialah golongan yang mungkin tidak akan mengenali antara satu sama lain kalau tidak kerana takdir yang menemukan kita di alam maya ini.

(sebenarnya aku ingin menulis nama kamu semua di sini dengan harapan agar kamu semua terharu dengan penghargaan yang aku beri, lalu kamu semua akan membeli buku jiwa kacau yang satu lagi: masuk barisan daripada aku sehingga habis kesemuanya. namun tiba-tiba satu kuasa jahat bernama Ma Last yang berasal dari Planet Tak Ra Jen telah menguasai diri aku dan menghalang aku untuk menulis nama-nama kamu semua.)

aku tidak pasti sama ada aku akan sempat untuk menulis isen yang ke-200 sebelum aku berpergi-pergian secara mandatori... isen ini ialah isen yang ke...

ahhh! makluk Ma Last menyerang!

25.12.06

taip, padam dan taip semula.

aku taip, aku padam, aku taip, aku padam.

aku agak ini mesti angkara virus writer's block yang didatangkan khas melalui mel udara kepada aku....

oleh kerana daya penulisan aku sedang mengalami proses metamorfosis, aku hanya mampu menulis dalam bentuk point form....

nombor satu:
beberapa tahun dulu, pada tarikh ini, aku dengan pertama kalinya menyentuh Suhaila ku. badannya masih mantap ketika itu, tidak seperti sekarang....

nombor dua:
aku sudah dapat naskah jiwa kacau aku beserta jaket sekali. sesiapa mahu naskah tersebut sila hubungi aku melalui emel amanitium [at] yahoo [dot] com sebelum atau pada 30 haribulan disember 2006. harga siling rm23, tapi kita boleh bincang sebalik kelambu atau tirai lagi.

aku akan menceritakan perkara di sebalik tabir antara aku dan cerita-cerita aku dalam jiwa kacau itu dalam isen akan datang.

nombor tiga:
arsenal menang 6-2. pertama kali dalam musim ini pasukan tersebut menang dalam keadaan pintu gawang mereka bolos dulu. agregat paling tinggi untuk musim ini buat masa sekarang. semoga rafa tenang...

nombor empat:
banjir besar di johor. apa tindakan kau? baca surat khabar kemudian tidur? tengok berita kemudian masuk jamban?

semalam jimadie mesej aku. dia di kota tinggi, tengah buat dokumentari tentang banjir di johor.
"Yes. Kalau ada yg nk derma leh gak. aku bw bj 3 guni arini. ko jd koordinator sukarela aku la. teruk sini siot. aku tido kt pusat penempatan mangsa bnjir ni. letrik tadak. apatah lg internet."
dia sudah melakukannya, kau bila lagi? hulurkan sumbangan, ringankan beban.

18.12.06

episod jack dan sally

masa urusan...
aku sedang berurusan dengan muhammad syumul (nama sebenar).

dia memberikan dua bekas kepadaku. satu bekas berisi mentadak besar, dan satu bekas berisi mentadak kecil.

"ni lelaki dan ini perempuan.." kata muhammad syumul, pelat banglanya masih pekat.

aku mengangguk, tidak tahu apa-apa, aku hanya menerima tanpa banyak soal dan memberi bayaran yang telah dipersetujui.

beberapa hari selepas itu...
aku membaca panduan membela mentadak yang boleh didapati di alam siber.

Deroplatys desiccata (Malaysian Dead Leaf Mantis) betina mempunyai enam segmen di bawah abdomennya, manakala yang jantan mempunyai lebih...

aku mengira segmen di bawah badan sally, enam segmen kesemuanya. memanglah enam, kerana sally sememangnya betina.

kemudian aku mengira segmen di bawah badan jack, enam segmen kesemuanya... ahhh? enam segmen? wah, memang enam segmen...

hari ini...
hanya aku seorang yang mengetahui jantina sebenar jack, aku tidak mahu memberitahu sesiapa yang lain di dalam rumah aku bahawa aku telah ditipu pendatang asing yang bekerja di sebuah tempat pameran serangga.

tiba-tiba aku dipanggil ke bawah. ada sesuatu perkara berlaku kepada jack.

aku lihat, wah, nampaknya jack telah mengeluarkan Ootheca (telur mentadak.) mungkin dia sempat bersenggama dengan mentadak jantan yang sebenar sebelum proses jual beli malam itu.

dan akhirnya seisi rumah aku tahu bahawa jack bukanlah seekor mentadak jantan...

dan mereka juga sudah tahu aku telah ditipu mati-mati oleh pendatang asing yang bekerja di sebuah tempat pameran serangga.

muhammad syumul, lihatlah jari tengahku ini elok-elok!

15.12.06

bungkusan basah & jack dan sally

i. bungkusan basah
semalam aku berpulang-pulangan daripada berpergi-pergian,

hujan renyai-renyai semasa aku sampai di hadapan pagar rumah,

ada satu bungkusan yang basah dan tertampal pelekat air pos,

nama penuh aku tertulis diatas sampul bungkusan itu,

dua setem bunga merah jambu yang mempunyai angka 5 tertampal di situ,

aku buka sampul itu,

"WHOOAAAAA!..." aku sebut dengan makhrajnya di anak tekak.

ii. jack dan sally
aku sudah ada haiwan peliharaan sekarang.

mereka ialah mentadak hutan yang berwarna seperti daun kering.

aku mahu namakan mereka zaki dan salina, tetapi tidak kedengaran hip dan intelektual.

lalu aku namakan mereka jack dan sally.

aku letakkan mereka dalam satu bekas yang sama.

tetapi mereka selalu bergaduh.

dan aku tidak pasti, sama ada mereka tidak serasi ataupun mereka pengikut kultus S&M...

9.12.06

gerabak ngeri petang tadi

didalam sebuah gerabak tren yang menuju ke wangsa maju...

tiga gadis/makcik berketurunan india sedang bergelak ketawa. kemudian salah seorang daripada mereka, gadis india berbaju hijau bercakap dalam bahasa ibundanya sambil menjuihkan bibir kepada sepasang anak muda keturunan cina. dan kesemua gadis/makcik india itu melihat aksi-aksi pasangan anak muda itu dengan perasaan yang jijik. riak muka mereka sudah cukup untuk menggambarkan segalanya...

ada sepasang kekasih cina yang bermadu kasih di dalam tren, berkemungkinan mereka ketiadaan dana khas yang cukup untuk bermadu kasih di tempat terpencil. keadaan mereka seperti baru habis minum power root ali cafe sebanyak tiga tong. sambil berbisik-bisik, tangan si gadis menjalar-jalar ke sana ke mari...

aku hanya berdiam diri...

kemudian tangan si jejaka menjalar-jalar ke sana ke mari...

aku tak selesa, aku tak puas hati...

"Agak-agaklah, kalau nak raba, rabalah gadis kau tu, yang aku sekali dicabuli itu apasal?" aku cakap dalam hati.

langit mendung yang gelap menaungi perjalanan tren petang itu, mentari pun hampir terlena...

nota kaki:
aku mahu berpergi-pergian, betul-betul kali ni. episod kedua trilogi aku disambung sepulangnya aku nanti.

nota kaki 2:
selamat berjuang kepada parajurit gunners.

8.12.06

trilogi tragedi kasut nike 3

aku dibawa ke balai polis menaiki van sekolah. pengetua sekolah dan penyelia hal ehwal murid mengiringi ku kesana. bersama dua orang pelajar lain.

aku berpakaian seluar hitam dan baju hitam berkolar bulat. sebelum aku dibawa ke balai polis itu, pengetua sempat menasihati aku sebanyak dua pusingan.

sesampainya di balai polis, keteranganku diambil. sambil memberikan keterangan, aku bermain-main dengan gari yang diletakkan di atas meja.
.
.
.
dan tidak lama kemudian, tanganku tergari. pengalaman pertama aku.
.
.
.
dan sejak aku menjejakkan kaki keluar dari balai polis hari itu, sehinggalah sekarang, kasut berwarna kulit, berjenama terkenal dan berharga murah itu, tidak pernah aku temui semula...

nota kaki:
aku akan berpergi-pergian buat sementara waktu. usahlah kalian merindui aku.

6.12.06

trilogi tragedi kasut nike 1


hari itu memang hari yang indah, dan pertemuan aku dengan kasut itu juga pertemuan yang indah. berwarna kulit, berjenama terkenal, dan harganya murah. ringgit malaysia tiga puluh sahaja, dan bukannya dijual di uptown, downtown mahupun georgetown, tetapi di kompleks membeli belah yang berada di tengah-tengah bandaraya.

aku terus mengambil keputusan nekad untuk memiliki kasut itu. aku memberikan tiga not merah kepada gadis juruwang yang sedikit tomboi itu. hati aku gembira kerana dapat kasut berjenama dengan harga yang murah, ibarat rakyat malaysia yang tidak matang (tiada kaitan sebenarnya), aku tersengih seorang diri sambil membawa beg plastik berbau kedai yang terisi kasut baru aku.

dan tidak pernah aku menduga, rupanya kasut itu boleh menyebabkan aku dibawa ke balai polis dan tanganku tergari di hari muka...

4.12.06

shisha danau kota

malam itu di danau kota, shisha perisa grape mint telah dipesan sebagai penambah perisa muzakarah kami.

kami bertujuh terus dengan muzakarah kami, entah bagaimana tiba-tiba boleh menyimpang masuk perihal buku sastera dalam muzakarah kami.

watak A: haritu aku ada baca buku ni, karya penulis terkenal, siapa namanya ek? jap aku pikey...

dalam hati aku cuba menaakul penulis terkenal yang dimaksudkan oleh watak A. mungkin Faisal Tehrani, mungkin Nisah Haron, mungkin juga Zaid Akhtar. mungkin juga dia membaca karya-karya agung nukilan Arenawati, A. Samad Said ataupun Shahnon Ahmad. mungkin juga karya Jimadie Shah.

watak A: alaa, tu nama dia... aaa...

wah, mungkin juga dia membaca karya penulis kontroversi yang memenangi hadiah nobel, Orhan Pamuk. ataupun karya penulis yang dibenci umat Islam, Salman Rushdie, bukan terikut-ikut, mungkin hanya mengkaji.
.
.
.
dan shisha perisa perisa grape mint pun sampai. botolnya diletakkan betul-betul dihadapan aku. aku menyambut hujung paip itu dan aku menyedut wap-wap berperisa melalui saluran paip shisha itu...

watak A: aaaa, aku dah dapat, nama dia Ahadiat Akashah!
.
.
.
shisha perisa grape mint yang kami pesan itu, tiada perisa grape, hanya berperisa mint. perisa kosong dan sejuk. aku terasa pening-pening dan mual.

malam itu di danau kota, shisha perisa grape mint yang telah kami pesan menyebabkan aku hampir muntah-muntah...

iklan kaki:
ujana ilmu ada membuat tawaran menarik! pakej sasterawan, Kekasih Sam Po Bo, Cinta Sangkuriang Rindu Oedipus, serta Rindu Ibu. hanya rm50, dapatkan sebelum kehabisan.

iklan kaki 2:
jiwa kacau 2: masuk barisan sudah terbit. sesiapa yang mahu mendapatkannya boleh menghubungi saya menerusi email amanitium [at] yahoo [dot] com.

3.12.06

malam silva & bellamy sedunia

suatu malam yang tenang, ketikanya masa itu myvi, ego dan suhaila masing-masing kelihatan sedang membawa haluan sendiri.

suhaila meluncur laju di lebuh raya yang lengang, dan suhaila meluncur laju di sebelah ladang kuda. hon suhaila dibunyikan kepada kuda-kuda yang sedang meragut di padang itu sebagai tanda sokongan.

pada masa yang sama, di tempat yang berbeza, seorang lelaki bernama rosicky telah dijatuhkan oleh chimbonda. silva, rakan rosicky datang dan terus menyepak dengan kencang, dan tidak lama kemudian, kelihatan robinson rebah ke kanan...

suhaila sampai ke ibu pejabat brotherhood of hooligans (BOH). tuannya turun dengan bergaya, dan terus menuju kepada ahli-ahli BOH. mereka bersalaman, dan dia berkata, "dude, siapa score gol yang kedua tu?"

.
.
.
dan hanya tinggal kurang sebulan untuk dia bersama kehidupan begitu...

30.11.06

impian khairul irfan sobirin bin aziz

tersebutlah kisah suatu hari di majlis rumah terbuka encik khairul irfan sobirin bin aziz.

majlis tersebut diadakan dengan meriah sekali, encik khairul irfan sobirin bin aziz sendiri yang menyediakan hidangan itu. pertama kali memasak, tidak semestinya sedap, tapi dia telah mencuba sedaya upaya.

ramai pengunjung yang tidak lalu makan, tetapi mereka tetap makan, sebab menjaga hati rakan mereka (walaupun sebenarnya tidak berapa rapat sangat pun.) encik khairul irfan sobirin bin aziz perasan tentang reaksi kurang senang para tetamu itu. dia mula berasa sedih kerana menghampakan para tetamu jemputan rumah terbukanya.

chef amirul ingin memberi tunjuk ajar kepada encik khairul irfan sobirin, lalu dia dengan sedaya upaya cuba berkongsi pengalaman memasaknya yang sememangnya luas.

begitu juga chef wan ariff serta chef hassan salim yang pernah menjadi presiden persatuan chef-chef daerah ulu langat.

encik khairul irfan sobirin mendengar nasihat-nasihat itu dengan tekun, sesungguhnya dia memang ingin melakukan yang terbaik, baru dalam sesuatu bidang itu bukannya alasan untuk tidak memberikan yang terbaik.

tiba-tiba...

dengan lantang di hadapan para tetamu, encik zulkifli menempelak:
"woi, entah apa-apa masakan ni! tak sedap langsung! rasa tawar! plastik lagi sedap! ketua kampung aku boleh masak lagi sedap! masakan kau ntah apa-apa! tak sedap langsung! rasa tawar! plastik lagi sedap! ketua kampung aku boleh masak lagi sedap!" (ulang sehingga secukup rasa)

encik khairul irfan sobirin bin aziz berkata:
"minta maaf, aku akan cuba lagi sedap. ini masakan aku yang pertama, jangan serik dengan masakan aku ya?"

encik zulkifli senyap seketika... lalu, sambil mendabik dada:
"kau nak tau tak? aku punya resipi memasak jauh lebih sedap berbanding ini tau! tengok semua, ini gambar hidangan yang ada dalam buku resipi saya! tengok ni!"

encik khairul irfan sobirin bin aziz senyap, dia terkedu di hadapan para tetamu jemputan rumah terbukanya sendiri...

lalu dia berlalu ke dapur, dalam hatinya berkata, "baiklah, aku akan berusaha lebih kuat untuk maju dalam bidang masakan ini!"

selepas beberapa jam dia membuat kajian salah silap masakannya, datanglah encik zulkifli mendekatinya. hilang langsung kegagahannya di hadapan para tetamu tadi, tetapi gaya bongkak itu tetap wujud.

"encik khairul irfan, aku nak buat resipi yang aku cakap tadi tu lah, macam mana ek nak memasak? aku tau resipi je, apa maksud menumis ek? kalau aku letak garam dalam masakan, tak masin ke nanti? boleh tak kalau..."

apa yang patut encik khairul irfan buat ye?
(a) menyepak terajang encik zulkifli hingga dia lebam-lebam.
(b) menyepak terajang encik zulkifli hingga dia koma.

pengundi yang bertuah mungkin memenangi skuter edisi khas impian khairul irfan.

nota kaki:
cereka (cerita rekaan) impian khairul irfan bin sobirin ini hanya rekaan semata-mata, tiada kena mengena dengan yang sudah meninggal dunia, ataupun yang akan meninggal dunia.

nota kaki 2:
ada sesiapa tahu terjemahan ayat 'adab menegur' dalam bahasa yunani?

29.11.06

berlumba dengan awan hitam 1

tet tenet tenet tet tet (kesan bunyi telefon bimbit kedengaran)

aku bangun dari tidur, dan dengan langkah yang bermalasan, aku pergi mencapai telefon bimbitku.

watak E: dude, kau tido ke?
Amanitium: a'a, kenapa ek?
watak E: ni urgent, kobe...

suara watak E cemas, menyebabkan otak aku semacam disambar petir, mata aku yang terpejam dengan spontan tercelik. perasaan yang tidak menyenangkan muncul dalam hati aku. kobe adalah salah seorang daripada ahli brotherhood of hooligans kami, adakah dia ditimpa kecelakaan? adakah dia sudah...? dengan tidak semena-semena, minda aku mengimbas semula saat-saat kami bersorak gembira melihat jaringan demi jaringan arsenal terhadap liverpool. kemudian kenangan melihat perlawanan menentang west ham pula menerjah minda aku. malam itu kobe dimomok-momok oleh rakan-rakan kami yang terdiri daripada penyokong M.U. serta N.U.*

Amanitium: kenape dengan kobe?
watak E: motor die rosak, dia kat destina, aku takleh pegi sebab ada kelas.
.
.
.
.
Amanitium: ohh... ok... nanti aku pegi sane...

aku letak telefon bimbit di atas meja, kemudian mencapai tuala merah jambu aku dan terus menuju ke bilik air. sambil berjalan itu aku menyumpah seranah penulis skrip drama televisyen yang sentiasa mengambil pendekatan stereotype untuk adegan penyampaian berita buruk melalui telefon.


*N.U. = Newcastle United

26.11.06

gula-gula getah daging & hujan asid

tadi ada jamuan di kawasan kejiranan aku.

aku datang awal untuk memberikan bantuan yang mana patut.

aku tolong membakar bahan-bahan mentah yang telah disediakan.

tidak lama kemudian, mimpi ngeri muncul, aku menjadi mangsa seorang pakcik yang bijak serba serbi dan berperanan seperti watak utama dalam sebuah rancangan televisyen. "kau salah itu, kau salah ini, kau patut buat begitu, kau patut buat begini," dengan nada cemas (yang aku agak mungkin kerana dia masih belum dapat menarik perhatian orang ramai dalam majlis itu.) "susunan tu salah!" tempelaknya lagi, aku tersedar daripada monolog dalaman. pakcik itu hanya membebaskan aku daripada trauma itu setelah majlis makan-makan bermula (dan setelah khayalak melihat dia menjadi tulang belakang utama dalam majlis keramaian itu.)

aku teruskan membakar bahan-bahan itu dalam hujan renyai-renyai tanpa perlindungan untuk diri aku. walaubagaimanapun, 'altar' pembakaran makanan itu dilindungi secara padu dengan bantuan khemah majlis.

setelah hampir beberapa kalori aku turut sama terbakar dek bahang panas 'altar' pembakaran itu, aku mengambil keputusan untuk pulang ke rumah. aku perlu bersiap untuk keluar melihat pasukan arsenal beraksi bersama rakan-rakan.

aku mengambil secebis daging panggang yang terhidang bersama air jingga sambil berjalan pulang. "oh, gula-gula getah perisa daging!"

aku ludah dan bersiap. "dude, sekarang game liverpool la, arsenal nanti karang," rakan aku memberitahu. lalu stevie g. menyumbat gol pertamanya untuk musim ini.

tamat perlawanan di anfield itu, aku terus pulang dan sehingga sekarang, kepala aku masih berdenyut-denyut kasar, angkara titisan hujan asid mungkin...


"aku agak arsenal saja bagi can je kat bolton tu," kata pelayar A kepada pelayar B.

24.11.06

ABC cekodok basi...

kau pernah tak tiba-tiba rasa kosong je dunia kau?

aku pun tidak pasti kenapa.
nampaknya aku sudah kena bersedia beradaptasi ke alam baru.
menuju XYZ bermula daripada ABC semula, walaupun aku pernah sampai ke HIJ.

tinggal sebulan lagi, belum tolak masa untuk kesana dan kemari lagi.

gembira mengenali anda semua...

dan sila ambil perhatian, sememangnya aku tidak mengalami perkara seperti memesan air kosong bersama nasi putih sahaja di kedai makanan segera. lalu pelayan yang bergaji itu mengherdik aku, namun memang itu pun hobinya di masa kelapangan.

22.11.06

pasukan hebat



nota kaki:
sekali-sekala masa terluang tanpa peluang... eik? krikk krikk krikk.

21.11.06

sediakan payung!

watak A: mak, semalam satu hari hujan kan?

mak: eh, mana ada, pagi semalam mana ada hujan, tengah hari baru start.

watak A: pelik pulak, long rasa macam sepanjang hari ja hujan semalam.

mak: memangla, long bangun tidoq pun time hujan start, sebab tu pikiaq macam tu.

watak A: owh, erm... erm... heh.

krikk krikk krikk

nota kaki:
sila baca dialog di atas dalam loghat kedah tengah.
nota kaki 2:
sila baca dialog di atas dalam loghat kedah tengah, kecuali kepada kesan bunyi (sound effect) cengkerik di akhir dialog.

17.11.06

selimut biru itu


indah langit biru,
cantik kayu-kayu,
rapatkanlah jauh-ku,
aku rindu cahayaMu.

13.11.06

watak kecil & dunia besar

Amaran: Ini isen berat, siapa yang malas membaca sila jauhkan diri.

I

watak A menonton berita maghrib di tvtikus, AS telah menggunakan kuasa veto untuk menghalang resolusi PBB desak israel henti serangan di Gaza. Cendol Nasi berkata "resolusi tersebut lebih merupakan agenda politik berat sebelah." dia menyifatkan draf resolusi itu sebagai dakwaan yang tidak berasas bahawa israel mencabuli undang-undang antarabangsa. "kami percaya resolusi itu tidak menyumbang kepada perdamaian," katanya lagi. tvtikus memasang siaran hiburan yang amat menghiburkan hati selepas itu.

II

Daripada Abu Hamzah Anas ibn Malik r.a., khadam Rasulullah SAW, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:
Seseorang kamu tidak benar-benar beriman sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri.
Hadith riwayat al-lmam al-Bukhari dan Muslim.
Hadith nombor 13 daripada Kitab 40 Hadith karangan Imam Nawawi

III

umat Islam ibarat buih di lautan. namun mereka tidak bersatu dan hanya bergerak satu-satu, lantas menjadi watak sampingan yang tidak signifikan. mereka hanya menjadi watak A, watak X, watak Y, dan lain-lain watak kerana mereka tidak signifikan, dan nama mereka tidak penting justeru hanya diletakkan sebagai codename oleh dunia.

IV

Di akhirat kelak, Allah akan bertanya (dalam bahasa melayu, lebih kurang begini bunyinya), "Apakah yang kamu lakukan untuk agama kamu ?"

Sebuah kisah di zaman Nabi Ibrahim, semasa Nabi Ibrahim dibakar oleh kaumnya, seekor burung kecil terbang berulang alik mengisi air dalam paruhnya lalu menyiram ke atas api yang membakar. Itulah yang dilakukannya berulangkali.

Tingkah lakunya diperhatikan oleh makhluk Allah yang lain lalu bertanya kepada burung kecil itu, 'buat apa kau penat-penat mengambil air berulang alik, sedangkan api yang membakar Nabi Ibrahim takkan terpadam dengan air yang kau siramkan itu.' Lalu dijawab oleh burung tersebut, 'Memang ia tidak akan memadamkan api tersebut, tetapi aku lebih takut kepada Allah kerana Allah akan menyoal aku nanti, apakah yang aku lakukan untuk agama Allah, dan Allah tidak akan bertanya samada aku berjaya memadamkan api itu ataupun tidak'.

Cicak pula bertindak jahat dengan menghembus-hembus kepada api yang membakar Nabi Ibrahim dengan harapan api akan menjadi marak lagi untuk terus membakar Nabi Ibrahim (walaupun sebenarnya hembusannya itu tidak membawa kesan ke atas api berkenaan.)

V

watak A tengok bola di danau kota, arsenal berhadapan liverpool di tanah jajahan sendiri. tiga gol di pihak arsenal (yang dua daripadanya dijaringkan pemain pertahanan) berbalas debu-debu yang dibawa angin. watak A menyokong pasukan arsenal tetapi watak A tidak membeli barangan arsenal, ini kerana arsenal ditaja israel. watak A berpendapat dia telah mengambil langkah selamat kerana, dia tidak memberi apa-apa keuntungan kepada israel. hurm...

nota kaki:
Lan Rambai dan Kemat, jumpa lagi pada bulan Disember, kali ni di Anfield.

9.11.06

keluhan rindu...

bas kuning itu meluncur laju di sepanjang lebuhraya utara selatan. dalam bas itu, hampir keseluruhan tempat duduk didominasi jejaka berkemeja putih lengan panjang dan berseluar khakis. terdapat beberapa anak gadis berkain khakis dan berbaju putih dibahagian depan bas bergelak ketawa secara sopan.

seorang daripada anak muda itu sedang khusyuk mendengar kaset kugiran Scorpions yang dipinjam daripada rakannya. sambil-sambil itu, dia menggerakkan bibirnya seperti gaya Klaus Meine, namun tiada suara kedengaran.

sesampainya di puduraya, dia mencari public phone yang berfungsi dan terus menelefon rumahnya untuk memberitahu dia sudah selamat sampai ke kuala lumpur. seterusnya dia mengharungi perjalanan menaiki star ke masjid jamek, kemudian dia membuat pertukaran kepada putra lrt dan terus ke terminal putra. perjalanan itu ialah rutin bulanannya, tidak hairanlah dia dengan yakin kesana kemari dengan menjinjing bagasi besar berisi baju masam.

sepanjang dalam gerabak, dia terus melayan lagu-lagu dendangan kumpulan kelahiran jerman itu, sambil melihat aktiviti-aktiviti manusia sekeliling yang tidak pernah terhalang dek kegelapan dinihari itu...

The bus is waiting right outside,
To hit the road and once again,
I leave you all behind,
I chase another dream tonight,
And by the time you'll be home,
I'll be far away,
Nothing seems to last forever,
It's time to go,
A moment in a million years,
Is all I've got for you,
A moment in a million years,
To make some dreams come true,
A moment that I won't forget,
Until the day I die,
A moment in a million years,
Called life...
[Scorpions: A Moment In A Million Years]

nota kaki:
kadang-kadang, manusia tidak dapat melihat ke hadapan kerana masih dibutakan masa silam. kadang-kadang, memang manusia itu sendiri yang memilih untuk dibutakan oleh masa silam, kerana ianya indah. namun, masa silam itu ialah perkara yang paling jauh daripada manusia, perkara terbaik yang boleh dilakukan dengannya ialah menjadi penyuluh untuk melihat ke hadapan...

6.11.06

varsiti kehidupan

sudah lebih kurang lapan bulan sejak aku berstatus separa-graduan.(baca: gagal dan diberhentikan.)

pada sebulan yang pertama, aku masih terkejut dengan status itu.

namun, setelah hampir lapan bulan berehat daripada menuntut ilmu secara formal, baru aku sedar, selama lapan bulan berehat ini, aku juga menuntut ilmu, tetapi secara tidak formal...

amanitium hari ini tidak sama dengan amanitium lapan bulan lalu.

amanitium lapan bulan lalu tidak pernah bekerja sebagai penolong dapur.

amanitium lapan bulan lalu tidak pernah bekerja sebagai guru tuisyen.

amanitium lapan bulan lalu tidak bukan penulis dalam Jiwa Kacau 2.

amanitium lapan bulan lalu bukan ahli kongsi gelap Nara Yuda.

amanitium lapan bulan lalu juga kurang beberapa inci ukur lilit pinggang...

3.11.06

kreatif sang api

pukul 3 petang, sony ericsson t610 aku berbunyi menandakan mesej baru sampai, aku mengambilnya, terus berbaring di atas katil lalu aku menyahut seruan syarikat komunikasi gergasi tempatan dengan mengambil bahagian dalam proses mesej-memesej. (sama kes seperti surat-menyurat)

watak E: nak lepak? petang sket?

amanitium: kul bape?

watak E: kul empat lebih ok?

amanitium: ok.

aku mengira-ngira, lebih kurang lima puluh minit lagi sebelum jarum panjang menunjukkan angka 12. nenek aku menghisap rokok sambil memandu dengan laju, dia sedang mengejar kereta dihadapannya. aku pula berada di bahagian belakang bersama orang gaji nenek aku, zaskia adya mecca, pelakon kiamat sudah dekat yang comel itu.


kami berborak mesra seperti sudah lama berkenalan. nenek aku masih berlumba dengan toyota celica berwarna putih itu, cuma kini kami di lebuhraya, dan aku masih asyik berborak dengan zaskia adya mecca, sudahkah aku beritakan tentang kecomelan gadis tersebut?

sedang aku asyik berborak, telefon bimbit aku berbunyi. aku menjawab dengan pantas, "hello?" kedengaran suara watak E dari hujung sebelah sana, "Weh, jadi tak lepak?"

aku sakit kepala, jam menunjukkan pukul 4.30 petang...

nampaknya sejak dua menjak bebas daripada diikat ni, kelihatannya syaitan semakin kreatif bermain dengan tidur manusia-manusia yang tidak pernah reti membasuh kaki sebelum tidur.

1.11.06

mengaku kulit putih

senarai nama ahli penyokong pasukan liga perdana inggeris yang tegar:

Arsenal:
Ihsan Huhu
Amanitium

Liverpool:
Lan Rambai
Kemat

Manchester United:
(aku tidak kenal blogger penyokong Ferguson)

Chelsea:
(aku tidak kenal blogger penyokong Mourinho)

nota kaki 1:
jika anda adalah pengikut liga perdana inggeris, sila letakkan nama dan url anda disini. ini untuk memudahkan proses pengutukan atau perdebatan sepanjang perlawanan antara pasukan masing-masing.

nota kaki 2:
kantoi sangat ke yang aku tiada idea untuk menulis dan masih diperingkat memanaskan enjin untuk isen kali ini?

29.10.06

pulang dari kampung

hari ini aku tidak mahu bercakap (menulis?) tentang perlawanan antara Arsenal dengan Everton yang terikat seri satu sama, jauh sekali aku ingin bercerita tentang Rooney yang kembali menyengat dengan hat trick selepas sembilan perlawanan tanpa jaringan.

aku sekadar ingin menunjukkan gambar mesin masa yang aku jumpa di kampung aku semasa pulang beraya tempoh hari.










Inilah mesin merentas masa!



oh, hampir lupa, juga aku ingin menyelitkan beberapa perkara menarik untuk dibaca sempena momentum bandul itu masih wujud.

Rasulullah is not perfect?
thread yang membogelkan dalang disebalik perselisihan antara dua tokoh Muslim di Australia. (aku juga telah dikaburkan)

Bagaimana untuk mengenali orang Islam Liberal?
Kajian peringkat awal yang menyimpulkan beberapa petanda untuk mengenali golongan yang kini popular dengan gelaran Islam Liberal. (atau Orang Islam yang merepek kata penulis)

21.10.06

berjayakah kita?


minta maaf atas salah silap selama ini, sesungguhnya kami hanya manusia biasa yang berperangai luar biasa, itu sahaja. haha.


nota kaki:
kami masih muda untuk menerima duit raya. sekurang-kurangnya not merah digalakkan.

nota kaki 2:
siapa berjaya? ada yang rugi?

17.10.06

cenderamata-cenderamata logam

tujuh belas oktober dua ribu enam.
aku menyambut ulangtahun kelahiranku hari ini.

aku tidak mahu menulis panjang-panjang,
aku takut dianggap sebagai meminta-minta dan muka tak tahu malu.

dengan ini, aku ingin merasmikan majlis sambutan hari jadi aku secara maya.

hoyeh hoyeh!

nota kaki 1:
bagi sesiapa yang berminat untuk sponsor kek hari jadi, aku menggemari blueberry cheesecake.

nota kaki 2:
bagi sesiapa yang berminat untuk memberi hadiah, aku menerima segala jenis bahan bacaan dan gadget terkini. (ipod dialu-alukan)

nota kaki 3:
isen ini diinjak sehari awal bagi memberi laluan kepada iklan narayuda yang baru terbit.

16.10.06

iklan



ini hanya iklan, entry terbaru di bawah.

12.10.06

senandung malam sepi

...dalam kesejukan malam itu, perjalanan yang keseorangan memang hambar,
tindakan memecahkan sepi dan menghilangkan sunyi amat diperlukan...

selepas lagu radio yang pernah dipopularkan oleh alkaline trio dimainkan, dia buntu. dia sudah jemu dengan playlist biasanya. dia mengira-ngira lagu apa yang belum dirosakkan sepanjang perjalanan bersama Suhaila itu. dia terdiam sejenak, lalu terus meluncur dalam kegelapan malam itu, tiada tanda-tanda ipod atau pemain mp3 bersamanya, seperti biasa...

The Sky Is Clear,
The Air Is Clean,
The Land Is Green,
Thank You Allah...
[Raihan - Thank You Allah]

10.10.06

ramadhan hujung benua - menyerang aspuri

sambungan ramadhan hujung benua - pakatan fly trio

watak A pulang ke bilik dalam keadaan penat. dia tersenyum sendirian bila melihat seluarnya kotor, "Kesian junior yang kena basuh seluar ni nanti."

selesai menukar pakaian, dia terus berehat di atas katil, dia hampir melelapkan mata. Tiba-tiba dia teringat tentang 'projek best' yang diberitahu watak L.

dia bergegas turun ke bilik watak S, pengendali 'projek best' itu. kelihatan segenggam batang-batang mercun tersergam indah di tangan watak S.

watak S: kau nak join ke?
watak A: haha, apalah kiranya jika aku join?
watak S: jom ah, yang lain-lain dah tunggu tu.

watak S dan watak A berjalan keluar asrama mereka, mereka menuju ke bahagian sisi asrama. watak E, watak Z, watak H, dan ramai lagi sudah menunggu. watak L juga ada, dia masih memakai pakaian tadi.

mereka berarak beramai-ramai ke arah tangki air yang bersebelahan aspuri. masing-masing kelihatan tersenyum, masing-masing mempunyai sebab tersendiri untuk memanjat menara air yang dipagar itu.

ada yang mahu merosakkan peparu pada altitud tinggi (baca: merokok), ada yang sekadar suka-suka, ada yang mahu melihat suasana aspuri daripada bird's eye view (oh, watak A seorang yang suci, harap maklum).

malam itu mereka semua bersatu dibawah satu agenda yang sama, menyerang aspuri dengan thunderclap...

4.10.06

ramadhan hujung benua - pakatan fly trio

dari jauh, kelihatan tiga jejaka muda remaja belasan tahun menuju ke arah pondok jaga di pagar utama sekolah. mereka berjalan dengan gaya perlahan, menyimpan tenaga, maklumlah, bulan puasa.

pakcik jaga : korang nak pergi mana ni?
watak L : nak pergi bazaar ramadhan dekat Ayer Baloi tu.
pakcik jaga : ok, pastikan korang bertiga balik sebelum berbuka.
watak A : ok pakcik, jangan risau lah.
watak F : terima kasih pakcik.

selepas beberapa jam, di pekan Pontian Kechil, (bukan Ayer Baloi) 17km daripada lokasi dialog tadi, kelihatan watak F, watak L dan watak A sedang berlepak-lepak di warung.

watak A : bila nak azan ni? lambat gila!
(suara azan kedengaran di ruangan atmosfera)
watak L : tu dah azan tu, mari makan.
watak F : mari makan, yeah man!

selepas mereka selesai makan, mereka masih belum mahu pulang, mereka berjalan-jalan di sekitar taman di tepi pantai, lepak-lepak sambil merosakkan peparu (harganya masih murah ketika itu). mereka menangkap gambar kenang-kenangan di tugu peringatan berdekatan, dan berbagai-bagai lagi kerja yang berfaedah. hanya selepas beberapa jam berpeleseran barulah mereka bercadang untuk pulang ke asrama...

watak A : aku rasa baik kita balik sekarang, nanti takde bas pulak.
watak L : jom ah balik, malam ni bebudak ada projek best.
watak A : woah, jom balik cepat!

mereka menaiki sebuah bas usang berwarna merah dan berhenti di tempat perhentian bas yang jaraknya 500 m dari pagar utama sekolah.

watak A : alamak, ada warden la dekat pondok jaga tu. macam mana ni?
watak L : apa kata, kita tembus masuk sekolah ikut dusun tu?
watak F : gelap malam ni, nak redah dusun tu tak bahaya ke?
watak L : alaah, bulan puasa ni syaitan semua kena ikat. jom!
(watak-watak ini memang suka jawab soalan dengan soalan)

watak A, F dan L dengan agak beraninya meredah dusun. mereka bergerak dengan bantuan cahaya bulan yang samar-samar. terkadang terdengar bunyi unggas malam sahut menyahut. pernah terdengar juga cerita ada keluarga tapir yang hidup di dalam dusun itu. tiba-tiba watak A ghaib, sejurus itu juga kedengaran bunyi yang aneh. watak F dan L terus menjadi kaget!


*******

kelihatan tiga lembaga keluar daripada kawasan dusun dan melintasi padang sekolah menuju ke kawasan aspura. salah seorang daripada lembaga itu berjalan sedikit capik, seluarnya kotor. dia kelihatan agak bengang.

*******

watak F : ha ha ha! (berdekah-dekah)
watak L : ha ha ha haha! (berdekah-dekah)
watak A : cis, celaka punya longkang!

2.10.06

terpaku Suhaila berpaku

apa yang kau rasa apabila sedang kau mencuci motor yang masih penuh petroleum didalamnya, kau terserempak dengan paku yang terpacak gagah di tayar belakang motor kau?

dan petroleum yang penuh di dalam tangki motormu itu ialah hasil pertukaran beberapa helaian legal tender terakhir yang wujud di dalam dompetmu.

kedengaran beberapa keluarga cengkerik berumah di dalam ekzos mu itu selang beberapa hari, mengalunkan irama alam semula jadi nan indah.

KRIKK KRIKK KRIKK~


terlalu sayu aku, Suhailaku berpaku...

27.9.06

Encik Franky d'Toto


Satu lagi projek NARA YUDA untuk rakyat Malaysia.


nota kaki:
aku sibuk akhir-akhir ini, jarang berpeluang meluangkan masa bersama rakan-rakan. harap maaf.

23.9.06

barisan hujung tumit

tadi di masjid, ramai orang datang, penuh-penuh, sesak-sesak.
(fenomena sebulan dalam setahun.)

tadi, semua muslim berkumpul, dan beratur dalam barisan saf yang sama, menyembah tuhan yang sama.
(tidak kiralah, daripada Islam 'bertamadun' ke, Islam 'tak bertamadun' ke, Islam 'liberal' ke, Islam 'mat cemerlang' ke, semua datang.)

tadi, semua duduk di bawah satu kubah yang sama, solat bersama-sama.
(memang sepatutnya pun mereka bersatu di bawah satu payung akidah Islamiah yang sama, sejak bila ada Islam khas untuk satu golongan je?)

tadi, semua tak mahu lepaskan peluang setahun sekali ini.
(peluang itu konteksnya luas, aku tidak bersangka buruk, saja menambah-nambah. sedap moreh tempat kau orang?)

apa aku nak sampaikan ni? oh ya, semua yang tertulis di atas tu hanya dihadkan pada waktu dan konteks tarawikh sahaja ke?
(untuk kau dan aku.)

nota kaki: minta maaf, aku bukanlah orang yang baik sangat, sila buang tanggapan itu jauh-jauh buat masa terdekat ni. betulkan aku kalau silap.

22.9.06

sembilu bazaar ramadhan

kejadian ini berlaku pada suatu petang ramadhan. kebanyakan manusia sedang berada di bazaar ramadhan, dengan tujuan yang satu, memenuhi tuntutan nafsu setelah seharian tidak memasukkan apa-apa ke dalam sebarang rongga badan.

di celah-celah perlumbaan kenderaan bertayar empat menuju ke bazaar ramadhan, terlihat kelibat sebuah skuter biru bernama Suhaila bersama dua penunggang turut bersaing.

amanitium: yeehaaa! kita akan sampai disana dan beli yang sedap-sedap!
watak C: betul tu, akhirnya, jejak juga aku kat bazaar ramadhan.
amanitium: kau tak pernah jejak lagi ke sebelum ni?
watak C: belum john, belum pernah. ni first time aku ni.
amanitium: oh, baguslah kalau begitu, nak sampai dah ni.

tiba-tiba, Suhaila bergerak secara perlahan. Suhaila bergerak seperti ada benda tersangkut di tayar hadapan. amanitium pelik. watak C panik.

watak C: kenapa dengan motor ni?
amanitium: aku tak pasti, aku rasa disc brake buat hal lagi.
watak C: berhenti dekat kedai minyak tu dulu.
amanitium: ok, ok.

Suhaila bergerak seperti itik pulang petang menuju ke stesyen minyak berdekatan. sesampainya kami disana, aku terus membongkok untuk melihat keadaan tayar hadapanku. aku lihat cakera (disc) brek tu seperti panas dan mengembang. watak C cuba mengambil bekas berisi air dan terus menjirus cakera itu.

psssssst, bunyi besi panas mendidihkan air. wap air banyak terbentuk daripada proses itu. sepuluh minit selepas itu, azan maghrib berkumandang di udara menandakan masuk waktu bagi wilayah persekutuan dan kawasan yang sama waktu dengannya. brek Suhaila masih tersangkut, dan watak C masih belum berjaya untuk menjejakkan kakinya di bazaar ramadhan hari itu...

Selamat Menunaikan Kewajipan Kita Semua, Mudah-mudahan Aku dan Anda Terpilih Menjadi Orang Yang Bertaqwa

19.9.06

topeng badut

aku sedang mencari ilham untuk projek terbaru aku. bagaimanakah patut aku garap lakaran itu agar topeng itu kelihatan ganas dan bergaya?


dari paling atas kiri, lakaran asas, konsep krim biru, dan konsep besi menangis


ada cadangan? boleh juga cuba-cuba untuk mewarnakan lukisan itu. klik save dan warna ikut gaya kegemaran anda menggunakan apa-apa saja perisian. klik save dan sila emel kepada amanitium[at]yahoo[dot]com. kalau tak mahu pun tak apa. amanitium tak kisah...

16.9.06

menawan bintang

ada tiga orang,
celik di tengah malam,
fantasi atas lembah,
mahu menawan bintang,

I
dia kejar bintang,
dia gapai bintang,
pegang kuat-kuat,
peluk erat-erat,

II
dia kejar bintang,
tersungkur jatuh,
rebah ke gunung,
paut erat-erat,
kepit rapat-rapat,

III
dia kejar bintang,
tersungkur jatuh,
rebah ke gunung,
terguling kebawah,
kembali ke lembah,

ada satu orang,
celik di tengah malam,
fantasi atas lembah,
mahu menawan bintang.

14.9.06

lorong seram sejuk

bapok @ golongan makhluk dua alam, pernah tak kamu semua meluangkan masa untuk berfikir tentang mereka dan nasib mereka? serta bagaimana mereka boleh terjerumus ke dalam lembah begitu? aku tak pernah berfikir tentang nasib mereka, dan tiada masa untuk memikirkan tentang masa depan mereka. masa depan aku sendiri masih tidak menentu.

semasa zaman aku belajar dulu-dulu, kadang-kadang aku dan rakan-rakan suka berjalan-jalan (menaiki kereta tentunya) melihat tempat makhluk dua alam bergelimpangan. kami berjalan sekadar suka-suka melihat mereka dan mentertawakan mereka. tidak terniat untuk melanggan mereka. betul, tak tipu! tidak perlulah aku sebutkan nama-nama tempat yang pernah aku jadikan tempat hiburan ni suatu masa dulu, nanti bertambah pula pelanggan-pelanggan nyah di situ.

aku sekadar ingin memberi nasihat, janganlah melanggan golongan ini untuk memuaskan nafsu, Nabi tak mengaku umat. jangan risau, aku pun tak pernah melanggan mereka.

tahniah aku ucapkan kepada seorang rakan, watak E (bukan nama sebenar) kerana berjaya menahan nafsunya walaupun berpengalaman mandi sauna bersama segerombolan bapok. hahahaha.

imbas semula:
titik noktah dunia ternoda

lihat juga:
Boboque - Kenapa hati mereka lembut?

12.9.06

hanyutnya para moluska

kejadian ini berlaku petang tadi, aku lihat mereka seperti gembira berenang-renang di situ. rupa mereka sudah berubah, tidak serupa seperti pertama kali aku melihat mereka. mereka tenggelam timbul di dalam kawasan air cetek itu ditemani serpihan-serpihan yang aku tidak ketahui unsurnya. aku kemudian mengambil keputusan untuk menghanyutkan mereka. flussshhhhh~

malam semalam, aku makan kerang rebus.
petang tadi, aku sakit perut.

oh ya, minta maaf, lupa bagi amaran. bukan untuk dibaca oleh mereka yang tidak tahan dengan perkara jijik.

9.9.06

masih begitu

di tengah padang dia berdiri,
gugusan salji menimpanya,
berbaju tebal mengetap gigi,
dia suka musim ini,
die gembira begini,

angin musim baru sudah tiba,
dingin menghembus wajahnya,
pucuk hijau mula tumbuh,
musim baru sudah tiba,
dia tetap berbaju tebal,

daun mula menjadi kuning,
daun mula gugur,
dia berbaju tebal,
dia bersarung tangan,
musim berlalu,
dan dia masih begitu.

5.9.06

logam dan epal

pernah baca fikiran. dalam. kembara. milik op & the-mulan? pernah dengar jurnal AhsueZ from the blog featuring Samurai? jurnal-jurnal yang aku sebutkan tadi ialah antara jurnal-jurnal perkongsian yang terkemuka dalam arena penulisan jurnal kebangsaan. logika logam psikotik pun akhirnya akan mengikuti jejak langkah jurnal-jurnal tersebut. nama baru jurnal ini ialah logika logam psikotik dan domestica. wah, panjang gila! Malus Domestica ialah nama saintifik bagi epal. beginilah, panggil sahaja jurnal ini sebagai logam dan epal selepas ini, sekadar cadangan.



sekarang! secara rasminya, Dnapple telah menjadi penulis bersama untuk jurnal ini. prapp prapp praap (bunyi tepuk tangan). sila menerima dia juga ya rakan-rakan.

nota kaki:
jurnal aku dikritik kerana layout yang semak! lihat jurnal pengkritik blog.

4.9.06

cerita panjang di RJ

seorang remaja berpakaian serba biru meluncuri jalan raya di atas motornya yang bernama Suhaila. selepas membuat beberapa korner baring dan up keatas Suhaila, remaja itu selamat sampai ke destinasi pertama, rumah rakannya.
******

semalam ada perlawanan persahabatan antara dua gergasi amerika selatan di stadium emirates. aku pergi ke rumah sewa rakan-rakan aku untuk mengajak mereka melihat pertembungan gergasi-gergasi itu yang ke 88.

amanitium: weh, jom tengok argentina lawan brazil.
watak M: woah, okay okay, no problem.
watak R: korang gerak dulu, aku dan yang lain nak pegi umah member lagi sorang sat.

aku dan watak M menaiki pacuan satu roda milik masing-masing dan terus bergegas ke Ramal Junction (RJ). RJ ialah tempat baru, abang shisha dia baik. lepas habis pertunjukkan kahwin-kahwin, siaran ditukar kepada saluran Astro supersports. yeah, aku terus terkinja-kinja seperti remaja merdeka di konsert klcc. rupanya kami lewat, sudah masuk separuh masa kedua.
******

pengisi masa lapang dan penyebar penyakit mulut ke mulut, shisha tidak dilupakan.

amanitium: bang, perisa grape satu bang.
abang shisha: grape tak sedap dik. apa kata try perisa chunky?
watak M: woah, nama sedap je. perisa apa tu bang?
abang shisha: perisa apricot campur strawberry campur ...(aku tak ingat)...
amanitium: biar betul ni, sedap ke bang?
abang shisha: sedap, betul.
amanitium: ok a bang, perisa chunky satu.
******

Kaka menjaringkan gol ketiga untuk pasukan Brazil, telefon tangan watak M berbunyi, mesej diterima. Weh, korg katner? kitorg kat ameerali. cpt la. da order shisha ni.

aku menelan air liur, shisha perisa chunky yang kami pesan sudah sampai, dan hanya kami berdua yang akan membayar untuknya. rakan-rakanku yang lain pergi menonton bola di tempat lain, bukan di RJ. aku menyedut tiub yang disediakan, perisa chunky, rasanya agak mengelirukan campur pening-pening, dan hanya kami berdua yang akan membayar untuknya...

nota kaki:
semalam Brazil mengalahkan Argentina dengan 3 gol berbalas kosong. watak M yang menyokong Brazil amat gembira sekali dengan pengakhiran sedemikian. aku? aku yang sememangnya menyokong the gunners memilih hanya untuk menyokong stadium emirates. boleh?

nota kaki 2:
cerita ini diubah sedikit demi melindungi identiti watak dan menyedapkan cerita.

1.9.06

merdeka


Ada apa disebalik Malaysia yang merdeka?
Yang tidak tersurat tapi tersirat.
Yang tidak nampak tapi wujud.
Salam Merdeka warga negara. :)

29.8.06

guru pasca merdeka

prakata:
aku gemar melihat iklan kemerdekaan yang ditaja proton tahun ini. iklan itu memartabatkan perjuangan guru dalam proses pembangunan negara selepas merdeka. (ya, watak utama yang bernama aman sedikit sebanyak mempengaruhi keputusan aku.) buat mereka yang memandang rendah pekerjaan seorang guru, ketahuilah sesungguhnya, tanpa mereka, kau tidak akan kemana-mana. tanpa guru, kau tak boleh kaya macam sekarang. tanpa guru tiadalah Perdana Menteri. tanpa guru tiadalah jurutera, doktor, dan lain-lain.

kenapa aku bincang pasal guru? kenapa bukan pasal merdeka? hari itu aku terdengar seorang makhluk menghina iklan itu apabila aman menurut jejak langkah gurunya dengan menjadi pendidik. bagi makhluk itu, profesyen guru bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan dan dibuat iklan sedemikian. bodoh kan? aku bukanlah pelajar yang baik sangat dekat sekolah dulu, tapi aku tetap hormat kepada cikgu. cikgu pukul aku pun aku tak balas balik. hehe. itu cerita zaman dulu-dulu.

isi utama:
tadi pelajar-pelajar aku bosan membuat kira-kira untuk mencari area, volume dan perimeter (pelajar aku belajar matematik dalam Bahasa Inggeris), aku sekadar ingin memecahkan suasana lesu. aku suruh pelajar aku jawab soalan '(1)apa maksud merdeka bagi saya, dan (2)bagaimana saya meraikannya' dalam sebuah kertas kosong. kemudian aku suruh mereka melipatnya dan memberikan kertas itu kepada aku.

balik rumah, aku membuka lipatan-lipatan kertas yang diberi mereka. "Apa ni?" tanya aku dalam hati. (ejaan disalin bulat-bulat daripada jawapan mereka)

jawapan (1) pelajar A:
main mercun
jawapan (2) pelajar A:
rumah saudarara balik kampung makan

jawapan (1) pelajar Y:
hidup selesa. jalur gemilang. negara kita berhusaha. di jaja.
jawapan (2) pelajar Y:
petunjukkan aska. menyanyi lagu Negara

jawapan (1) pelajar Z:
pada tahun 1957 kita dijajah oleh tentera Jepun dan kita berlawan dengannya
jawapan (2) pelajar Z:
saya balik kampung dan mandi sungai bersama keluarga

bagaimana dengan anda semua? bagaimana anda meraikan merdeka?

nota kaki:
perasankah anda semua yang tahun ini bulan kemerdekaan seperti lesu? seperti bukan bulan kemerdekaan? seperti biasa-biasa saja. terlalu lesu, perkahwinan SN lagi menarik daripada bulan kemerdekaan. haha.

sekitar bulan kemerdekaan:
Fiqeologi - didik lah kami
Dugongsenyum - IKLAN MERDEKA
Tok Rimau - IKLAN MERDEKA

25.8.06

lagu berhantu

rakan-rakan suka dengar lagu?
pernah dengar lagu Samsons, kenangan yang terindah?
menarik kan lagu tu?
terasa seperti khayal, mamai dan lain-lain lagi. kan?
tahukah rakan-rakan apa yang tersirat dalam lagu tu?
nampaknya rangkap-rangkap yang didendangkan ada makna tersembunyi.

rahsia lagu ini amat mengejutkan.
amat berbahaya. ingin tahu?

klik sini, baca nota itu kemudian tekan play, lihat sendiri.

akhirnya rahsia mengapa lagu ini berhantu terbongkar. semoga anda semua bersabar.

23.8.06

maruah tergadai kerana wang

kisah ini berlaku pada suatu hari yang ceria. watak A dengan Suhaila menuju ke sebuah hotel. (hotel? wah, semakin panas cerita ni) beliau dengan berhati-hati bangun daripada Suhaila, lalu menuju ke human resource department. dia mengangkat tangan kepada pengawal keselamatan, dan terus mencari cost control room. watak A melihat tiada orang beratur di situ. "wah, lancar urusan aku hari ini," hatinya berkata. dia terus membuka pintu bilik itu. ada seorang wanita kelihatan hairan melihat dia.

akak gaji: kenapa?
watak A: urm, gaji (dengan gaya cover macho)
akak gaji: gaji? mana ada bayar gaji harini.
watak A: oh, hari apa ek? (masih cover macho)
akak gaji: hari selasa dan jumaat.
watak A: terima kasih. (lalu menutup pintu dengan cover macho)


watak A berjalan keluar, angkat tangan kepada pengawal.
masih dengan gaya macho.
watak A turun ke tempat letak kenderaan.
masih lagi dengan gaya macho.
watak A naik Suhaila dan terus bergerak.
watak A gelak berseorangan.
kali ini dia sudah tidak cover macho, kali ini dia cover malu.

nota kaki: watak A tersilap hari untuk mengambil gaji, dia akan cuba lagi hari jumaat ini. marilah doakan kejayaan beliau.

21.8.06

retorik shisha?

Pada pagi 20 ogos lepas, seorang blogger telah memohon untuk add aku dalam list rakan yahoo messengernya. aku tanpa berfikir panjang dan tiada prasangka, terus membenarkan perkara itu berlaku. antara petikan perbualan:

MJSO: ko takleh kenal manusia melalui chating so cow
amanitium : betul2
MJSO: aku kesian kat hang
amanitium :nape?
MJSO: sebab aku rasa hang poyo
amanitium : cheh
MJSO: aku ikhlas


tidak boleh kenal manusia melalu chatting? tapi boleh rasa manusia itu poyo? aku tidak faham dia. dia minta gambar aku, aku bagi, kemudian dia kata aku jambu. aku tidak faham lagi. aku pening.

hormat orang lain tak bagus ke? aku rasa macam bagus kalau hormat, tapi dia kata manusia akan kelihatan bodoh dan kecil jika menunjukkan hormat kepada orang lain. aku terus menamatkan usaha aku untuk memahami orang itu disitu. sekadar menekan-nekan papan kekunci tanpa ambil pusing apa-apa selepas itu...

kesimpulannnya, shisha honeydew mint juga sedap, walaupun pak arab zaman dulu tidak menyediakan perasa itu. pernah dengar perkataan inovasi?

keliru? lihat: shisha honeydew lawan shisha perasa anggur

nota kaki: aku tidak memakai kaca mata tebal mahupun kanta lekap. satu lagi andaian yang salah. haha.

18.8.06

antara aku dan buku

buku; hidup aku bergelumang dengan buku sejak aku masih di bangku sekolah lagi. siapa sangka, aku semasa kecil dahulu ialah seorang kanak-kanak yang amat meminati novel. terdapat lebih kurang 70 buah novel kanak-kanak yang berada di dalam koleksi aku semasa itu. semua itu bermula apabila ayah aku mendaftarkan aku memasuki sebuah Kelab Buku Kenari, kelab novel kanak-kanak. sejak itu, aku boleh dikatakan seorang yang ulat buku.

sekolah menengah, kehidupan aku banyak berubah, proses adaptasi terhadap transisi pra-matang yang terlalu lama banyak mengambil masa membaca aku. entah kenapa, semasa di sekolah menengah, seingat aku, terlalu sedikit buku yang aku baca, walhal, aku seorang pengawas pusat sumber di sekolah. mungkin ada sebuah dua novel seram Inggeris yang menjadi kegilaan remaja di zaman itu yang aku berjaya habiskan. aku sendiri pun tidak pasti.

kemudian, aku berpindah ke mrsm, di sini, rakan-rakanku banyak membaca novel untuk meningkatkan kuasa bahasa mereka. aku sekadar menumpang membaca novel mereka. aku sudah berhenti menjadi kaki novel. cuma pernah sekali, aku berjaya membeli dan habis membaca novel tebal bertajuk "Bukan Puteri Lindungan Bulan," karya Liana Afiera Malik, yang siap ditandatangani beliau sendiri, peluang yang aku gunakan semasa kunjungan ke pesta buku suatu masa dulu. aku tak berapa ingat apa yang membuatkan aku membeli novel itu. selain novel itu, aku juga sempat membaca novel Harry Potter ketiga, keempat, dan kelima sepanjang aku berada di sekolah berasrama itu, untuk memantapkan Bahasa Inggeris aku. di sekolah itu juga aku berjinak-jinak dengan karya Encik Faisal Tehrani dan Encik A. Samad Said, walaupun tidak berapa jinak sangat. aku juga bertugas sebagai chief editor kepada sebuah majalah sekolah yang amat rendah kualitinya. (teringin nak minta maaf kepada para guru dan rakan sekolah)

selepas menamatkan pengajian peringkat sekolah, aku meneruskan pengajian di sebuah institusi pengajian tinggi swasta di bangi. kemudian aku ditendang. haha. itulah natijah kehidupan hedonisme. dengan masa yang banyak terluang ini, aku telah bekerja sebagai pembantu dapur bahagian pastri sebuah hotel, bekerja sebagai guru tuisyen, dan tidak lupa juga mengambil bahagian dalam buku jiwa kacau 2.

sekarang, sementara menunggu permohonan aku untuk ke Uitm diluluskan, aku cuba untuk menghayati semula kehidupan aku semasa zaman kanak-kanak dulu. cuma mungkin kali ini aku membaca novel yang lebih dalam maksudnya, atau yang berkaitan dengan aku.

aku sudah pesan novel Tunggu Teduh Dulu dan Advencer si Peniup Ney karya Encik Faisal Tehrani menggunakan wang gaji aku. aku yakin aku tidak membazir, kan?

17.8.06

bersamamu makhluk logam


sempena hari buntu menulis jurnal sedunia hari ini, aku ingin menceritakan tentang kisah yang pasti mampu untuk menyebabkan hati setiap insan yang membaca sebak dan sedih.

14 haribulan
"yeay, aku dah dapat gaji, apa aku nak buat dengan gaji aku ni ek?"

15 haribulan
"huhu, tinggal rm23 je lagi gaji aku, apa yang aku boleh buat lagi ek?"

16 haribulan
"wah, banyaknya rama-rama yang terbang keluar dari dompet aku."

sedih tak kisah ni? rakan-rakan tak rasa kasihan ke?
marilah menderma ke tabung amanitium malaysia.
marilah mari. tak ada orang ke? helllooooo...

krikk krikk krikkk (bunyi cengkerik kedengaran...)

16.8.06

mari memenangi i-pod.

exabytes ada mengadakan peraduan silang kata sempena bulan kemerdekaan ini. hadiah-hadiahnya amat menarik, paling menarik bagi ku, hadiah kedua, i-pod shuffle. aku hanya menghantar sekali penyertaan, tidak lebih, peraturan silang kata itu tidak membenarkan seseorang individu menghantar lebih daripada satu penyertaan.

tapi aku boleh refer, kalau ada salah seorang daripada rakan-rakan yang aku refer menang, aku pun menang juga. jangan risau, jawapan sudah disediakan, anda hanya perlu mengisi nama anda sahaja.

klik sini untuk muat turun borang.

tidak percaya? Exabytes™ Merdeka Quiz 2006

15.8.06

iblis!!!

Beliau tidak akan melayan pihak tertentu yang bersikap seperti ‘iblis’ yang berasakan ia lebih pandai daripada orang lain.

“Tegur boleh tegur (seperti) dalam amalan kita bermuhasabah secara kumpulan, dalam bermesyuarat, itulah cara terbaik kita. Tetapi kata mengata, tabur fitnah, dengki dan sakit hati, sengaja nak buat kacau, ini tak baik dan tak patut dilakukan sesiapa pun.”
sumber: Pak Lah tak layan sikap macam iblis

hahaha, aku jarang menulis tentang politik tanah air mahupun luar negara dalam jurnal ni. entahlah, bagi aku politik ini ialah satu benda yang amat kotor. bak kata pepatah Inggeris, "It's a dirty job, but somebody's gotta do it." maka dengan ini, aku, pemilik logika logam psikotik mengisytiharkan, semua yang berada dalam senarai tukang komen di dalam penulisan setia Suhaila, JPJ percaya kecuali kingbinjai ialah iblis!!!

senarai insan yang tidak akan melayan pihak tertentu yang bersikap seperti ‘iblis’ yang berasakan ia lebih pandai daripada orang lain setakat ini:
1) amanitium
2) singabeng
3) (...sila tulis nama anda di tempat ini bagi mereka yang terlibat...)

12.8.06

setia Suhaila, JPJ percaya

pada suatu malam yang biasa...
watak M: yeah, aku berjaya mendapatkan lesen memandu kereta, haha.
watak A: eleh, aku dah lama dapat lesen memandu kereta.
watak M: yelaaaa...

beberapa bulan selepas malam yang biasa itu...
watak M sudah membawa kereta ke sana ke mari.
watak A masih setia bersama Suhaila.

moral: walaupun anda menerima kepercayaan penuh pegawai JPJ, tidak semestinya anda akan menerima kepercayaan hatta secebis pun oleh pemilik kenderaan @ (ibu dan bapa)

nota kaki: dialog adalah rekaan semata-mata, tiada kena mengena antara yang masih meninggal ataupun yang sudah hidup.

6.8.06

masa itu emas

isnin (31 julai):
7am - 3pm (angkat barang sana-sini, simpan barang sana-sini, godek-godek sana-sini habis 8 jam)
8pm - 10 pm (jawab soalan budak-budak darjah 4, pemahaman dan matematik)

selasa (1 ogos):
7am - 3pm (angkat barang sana-sini, simpan barang sana-sini, godek-godek sana-sini habis 8 jam)
8pm - 10 pm (jawab soalan budak-budak darjah 5, penulisan dan sains)

rabu (2 ogos):
7am - 3pm (angkat barang sana-sini, simpan barang sana-sini, godek-godek sana-sini habis 8 jam)
8pm - 10 pm (jawab soalan budak-budak darjah 5, pemahaman dan matematik)

khamis (3 ogos):
7am - 3pm (angkat barang sana-sini, simpan barang sana-sini, godek-godek sana-sini habis 8 jam)

jumaat (4 ogos):
7am - 3pm (angkat barang sana-sini, simpan barang sana-sini, godek-godek sana-sini habis 8 jam)
8pm - 10 pm (jawab soalan budak-budak darjah 4, penulisan dan sains)

sabtu (5 ogos):
tidak pergi kerja, ada urusan, selesaikan urusan, tidak penat, ingin meluangkan masa bersama kawan-kawan.
watak A: ayah, nak keluar kejap.
watak R: jangan banyak sangat buang masa!

ahad (6 ogos):
7am - 3pm (angkat barang sana-sini, simpan barang sana-sini, godek-godek sana-sini habis 8 jam)
...(bunyi efek masa sedang berjalan kedengaran)...

nota kaki 1:
aku masih sibuk, tidak dapat berhubung dengan rakan-rakan sehingga hari jumaat akan datang.
nota kaki 2:
ingat! jangan banyak sangat buang masa macam aku!

5.8.06

ini bukan hasutan


aku tidak rasa aku akan direman jika jurnal aku dipantau. sekadar mengurangkan liabiliti aku dengan memberi amaran. aku tidak menyalahgunakan kebebasan bersuara dengan menyebarkan hasutan, fitnah atau pembohongan seperti mereka di bawah ini, haha.

Ron97 - Mari Kawan Kawan
pakdi - Perhatian Blogger!
Book - Jom!
singabeng - Aku sayang Menteri Perdana
Kitaro - PEDULI APA!

aku seorang yang pentingkan diri, aku tulis pasal diri aku saja. tidak seperti mereka, menyebarkan hasutan, fitnah atau pembohongan kepada rakyat yang amat mudah terpengaruh.

disclaimer: aku tidak menghasut mana-mana pihak untuk membuka laman-laman itu, aku juga tidak bersubahat dengan mereka untuk menyebarkan dakyah dan fitnah, malahan aku telah memberi amaran untuk berhati-hati di jurnal aku. hahahahahahah.

2.8.06

rahasia seorang chef

semalam di bahagian pastri, chef J telah menyuruh aku menggentel doh yang baru siap dibancuh menjadi bentuk sfera yang kecil kecil. dia menunjukkan satu contoh kepada aku. doh yang dibentuknya mempunyai kulit yang licin dan tegang. aku terus cuba untuk meniru gaya dia menggentel doh itu. cubaan pertama aku, doh tidak menjadi bentuk sfera. cubaan kedua aku, doh menjadi seperti agak sfera, namun kulitnya amat bergerutu. cubaan ketiga, doh menjadi penyek dan kelihatan seperti sebuah makhluk ajaib.

amanitium : chef, camne chef buat doh jadi cantik macam tu?
chef J: ko ada awek tak? (sambil tersenyum)


aku tersenyum. haha. rakan-rakan faham?

1.8.06

identiti

pagi tadi, aku terlalu banyak idea untuk dihebahkan kepada rakan-rakan.
sekarang, aku buntu. buntu habis.

rakan B : aku tgk care ko tulis kat blog da brubah
rakan B : dulu ko lagi straight forward
rakan B : tp skrg mcm kurg
rakan B : aku lagi sonok bace post2 ko yg lame
amanitium : terima kasih atas nasihat kau
rakan B : n aku harap ko bole buat post2 cam dulu la


aku pernah cerita aku mudah terpengaruh bukan? rujuk ada apa dengan logika logam psikotik?

buat pengetahuan semua, aku masih mencari identiti sendiri.
harap maaf.

cerita menarik minggu ini:
pisang - sebungkus nasi lemak
boboque - nukilan di pagi jumaat liar

31.7.06

siang, malam, jurnal dan aku.

minta maaf rakan-rakan, kesibukan aku bertambah. aku telah mengambil keputusan untuk mengisi masa siangku dengan menjadi pembantu dapur bahagian pastri di Hotel Equatorial. pada waktu malam pula, aku masih lagi dengan kerja aku sebagai seorang guru. hal ini memberi makna, aku akan semakin kekurangan masa untuk menulis, namun, usah risau, aku tidak akan berhenti terus, aku akan cuba mencuri masa untuk menulis.

sejak akhir-akhir ini, nafsu aku untuk menulis semakin membuak-membuak. terlalu banyak cerita ingin aku sampaikan, cuma masa tidak mengizinkan. hasrat hati ingin bercerita tentang kerunsingan aku tentang jiwa kacau, pengalaman aku sebagai seorang guru baru, peristiwa semangat hedonisme yang kembali bersemarak setelah lama terpadam, dan banyak lagi. aku tidak tahu bila aku akan sempat menulis tentang semua itu. harap-harap umur aku panjang.

tawaran kemasukan ke institusi pengajian itu sudah dibuka semula, itu satu lagi perkara yang aku perlu uruskan. aduh, orientasi lagi, aku tidak suka menjadi kanak-kanak selama seminggu seperti du uni*ten dulu. ya, kisah akademik aku juga seperti menarik untuk aku ceritakan kepada rakan-rakan semua. masa masih memainkan watak utama sebagai antagonis dalam perjuangan penulisan aku.

oh ya, esok aku perlu berada di dalam dapur bahagian roti pada pukul 7 pagi. sekarang jam di bahagian bawah kanan monitor menunjukkan 1:43 AM. wah, aku perlu tidur sekarang. semoga aku dapat kembali menulis seperti sediakala esok lusa. aku juga mahu melihat perkembangan kehidupan kamu semua. selamat tinggal rakan-rakan.

p/s: aku masih belum sempat membalas mesej-mesej yang terselit di Msjbox, bahagian kanan jurnal ini, harap maaf.

27.7.06

Jiwa Kacau 2: Sesi Iklan


"Entri-entri terpilih dalam Jiwa Kacau II : Masuk Barisan ini banyak yang menyentuh perasaan saya. Tidak sukar menghabiskan kesemuanya dalam masa yang singkat. Susunannya diselang-selikan antara penulis sinis, penulis penuh kecindan dan penulis penuh emosi. Ada juga entri yang menyebabkan saya sukar berhenti ketawa."- Pengantar oleh Nisah Haji Haron, penulis cerpen "Annyss Sophillea" - teks wajib pelajar Tingkatan 4.

Penyumbang karya dalam buku JIWA KACAU edisi kedua:

Annyss - Amanitium - Aqil - Attochman - Attokz - Azhan - Bluehikari - Book - El-Maaniq - Esis - Kelambu - Kemat - Kingbinjai - Mat Jan - Ms D' - Naimisa Yusof - OP & Mulan - Puteri Elaira Eliza - Rima Nilzah - Rulan Awan - Sam Ahmad - Sinaganaga - Superdiman - Tok Rimau - Tuah Tanah


Terbitan hanya terhad kepada lebih kurang 500 naskah sahaja. Anda berminat? Sila emelkan nama anda kepada Amanitium[at]yahoo[dot]com untuk proses tempahan, cepat sebelum terlambat.

26.7.06

ekstrema berbeza

Prakata

ini ialah salah satu daripada artikel yang aku taip semasa ketiadaan hubungan internet di rumahku. silakan baca jika anda mahu. sila bertenang untuk aku dan kamu. dugaan di mana-mana. penduga juga sama.

#######

terang dan gelap. atas dan bawah. hitam dan putih.

perasankah kamu semua tentang perbezaan sifat kata-kata berlawanan ini? perkara ini
mungkin terlalu kecil signifikasinya dalam kehidupan seharian kita, akan tetapi, tidak bagi diri aku. hal ini mungkin disebabkan aku mempunyai terlalu banyak masa lapang untuk dihabiskan, menjadi seorang ahli fikir kecil-kecilan untuk melepaskan masa.

terang dan gelap, keadaan terang bagi kita adalah berpunca daripada pancaran tenaga cahaya daripada sesuatu (contoh: mentol) yang terpantul ke arah mata kita, lalu memberi gambaran cerah. jika maksud ini disongsangkan, kita akan mendapat inferens bahawa, 'bagi keadaan gelap, pancaran tenaga cahaya diserap oleh sesuatu, lalu menggelapkan keadaan.' Inferens yang kita dapati itu sudah tentu salah, keadaan gelap hanyalah terjadi kerana ketiadaan cahaya , bukan kerana cahaya diserap oleh unsur-unsur tertentu. sebagai kesimpulan kepada penyiasatan ini, terang dan gelap tidak mempunyai vektor yang berbeza, terang mempunyai nilai positif dalam paksi X, manakala gelap bernilai sifar.

atas dan bawah, kedua-kedua keadaan ini mempunyai vektor yang berbeza, satu mempunyai nilai positif dalam paksi Y dan satu lagi dalam nilai negatif. jika kita gunakan perbandingan vektor dalam perbandingan antara terang dan gelap seperti di atas, kita akan dapati bahawa perkataan berlawanan bagi perkataan 'atas' ialah tengah. perkataan tengah sudah tentulah bukan perkataan berlawanan bagi 'atas.'

bagi hitam dan putih, tiada ukuran yang boleh dilakukan secara jelas. perbandingan hanya boleh dilakukan dalam bentuk perlambangan, seperti hitam selalunya melambangkan nilai-nilai jahat, manakala putih dilambangkan dengan nilai-nilai baik. jika bentuk perlambangan diambil kira, kita boleh dapati yang hitam mempunyai nilai negatif dalam paksi Z manakala putih sebaliknya.

kesimpulannya, walaupun sifat perlawanan perkataan-perkataan yang kita sebutkan tadi tidak sama, kedua-dua perkataan dalam setiap pasangan berada dalam ekstrema paling hujung bagi pihak masing-masing. untuk pasangan 'terang dan gelap,' gelap berada di tempat paling bawah dalam paksinya, iaitu tiada cahaya, di kedudukan sifar. hal ini terjadi kerana dalam keadaan normal kehidupan seharian kita, cahaya tidak mungkin diserap, melainkan jika kita terjumpa lohong hitam (black hole), ia sememangnya mampu menyerap cahaya. namun, jika anda dapat melihat fenomena ini, aku tidak pasti samada anda akan sempat pulang untuk menceritakan perkara ini kepada aku sebelum kamu diserap lohong itu sekali.

nota kaki 1:
jangan abaikan aku, aku juga ingin kelihatan bijak.
nota kaki 2:
jika ada salah dan silap yang kamu dapati tentang fakta-fakta yang aku sematkan di atas, sila tegur aku. nasihatilah aku.wassini.

lama dan banyak: aku kembali!

sudah lama aku terputus hubungan dengan dunia maya,
dua minggu bukanlah suatu masa yang sekejap,
dua minggu ialah empat belas hari,
empat belas hari ialah tiga ratus tiga puluh enam jam,
cuba bayangkan tiga ratus tiga puluh enam jam yang kosong,
itulah yang aku alami.

sepanjang ketiadaan hubungan dengan dunia maya ini,
aku telah menyiapkan dua draf penulisan logika logam psikotik,
aku telah menghabiskan beberapa jam untuk menulis satu puisi,
aku telah menghabiskan lima belas jam untuk mengajar,
aku telah menghabiskan beratus jam untuk tidur,
aku telah menghabiskan berpuluh ringgit untuk melepak-lepak.

dua minggu daripada kehidupan aku,
kelihatan kosong, kan?

nota kaki 1:
aku selalu mengalami pening kepala sejak akhir-akhir ini, adakah aku mengalami penyakit misteri?

nota kaki 2:
Al-Fatihah kepada nana, semoga rohnya dicucuri rahmat. kelak sebelum aku meninggal, bagaimana agaknya penulisan-penulisan terakhir aku ya? tanda tanya yang lebih penting, bagaimana agaknya persediaan aku kelak? renung-renungkanlah wahai aku dan kamu...

14.7.06

Tuan Guru Amanitium

Sekarang, aku sedang berada di sebuah kafe siber di seksyen lapan Bandar Baru Bangi. Aku tidak dapat melayari alam maya di rumah, ini kerana komputer di rumah aku tidak dapat berhubung dengan talian internet. Aku berpendapat, ini mungkin disebabkan ADSL High Speed Router aku yang bermasalah. Aku minta maaf kepada rakan-rakan, kerana tidak dapat menjenguk khabar berita terbaru kamu semua. Sesudah segala masalah berkaitan pertalian komputer aku selesai, maka sudah tentu aku akan kembali untuk bergiat aktif di alam maya ini.

Aku menjadi guru, perkara yang amat menarik untuk didengari. Antara kata-kata rakanku berkaitan peristiwa ini, "Habislah, mesti kau ajar pasal pembiakan je kat budak-budak tu." Aku juga tidak menyangka aku akan mendapat kerja sebagai guru, apatah lagi dengan status aku yang begitu teruk. Itulah namanya rezeki. Wah, berbagai kerja aku lakukan sepanjang cuti sejak ditendang institusi itu. Baiklah, berusaha menjadi GTA, Great Teacher Amanitium!

nota kaki 1:
Aku akan bekerja sebagai guru sebelum teman wanitaku, Dnatium sempat menghabiskan pengajian dalam TESL dan mula bekerja sebagai guru.
nota kaki 2:
Aku akan mula bekerja sebagai guru tuisyen malam ini. Sila doakan kejayaanku ya rakan-rakan.
nota kaki 3:
Aku rasa talian internet aku telah terpengaruh dengan broadband tuan tanah.

12.7.06

justifikasi tandukan Zizou

Maafkan saya, masih lagi tentang Piala Dunia 2006 walaupun Itali telah pun dinobatkan sebagai juara beberapa hari yang lalu. Sekadar ingin menghidangkan spekulasi tentang bisikan kontroversi Materazzi kepada Yazid sebelum Yazid menghidangkan Materazzi dengan tandukan yang berbisa di sternumnya. Ini ialah penulisan saya yang terakhir yang berkisarkan tentang Piala Dunia sehinggalah 4 tahun akan datang.




Ini ialah aksi terakhir seorang pemain prolifik sebelum persaraannya

...According to these reports, Materazzi spoke in Italian - a language understood by Zidane due to his time spent with Juventus F.C. - and told him: "Hold on, wait, that one's [referring to the pass] not for a feccia [i.e. 'shit', 'scum'] like you." Zidane then reacted to Materazzi picking his shirt, and allegedly said that, if Materazzi really wanted to have his shirt, he could have it afterwards. It is unclear what he specifically said and if he told Materazzi to stop picking his shirt beforehand. Materazzi allegedly replied: "I'd rather take the shirt off your wife." As the players walked forward, he reportedly added: "We all know you are the son of a terrorist whore." (Zidane is of Arab Algerian descent.) Then, just before the headbutt, he is seen saying: "Vaffanculo" (i.e. 'fuck off')...
dipetik daripada: Wikipedia: Zinedine Zidane: The controversy over the final game's misconduct


...Kalau ini benar, puas hati Zizou. Mempertahankan maruah diri, apatah lagi mempertahankan agama adalah wajib dalam Islam. Tetapi harus diingat yang dalam interbiu dengan Sebastian Rotella, "Can Zidane be King of France Again?", Los Angeles Times, 4 June 2006, Zidane mengakui dirinya a non practicing moslem...

...Pun, apalah agaknya yang penting tentang Zizou ini ya? Ayuh peduli
palestina di http://www.pedulipalestina.blogspot.com/...

dipetik daripada: Faisal Tehrani: Materazzi to Zidane: We All Know You Are the Son of a Terrorist Whore



nota kaki 1:
gambar tandukan Zizou itu telah saya curi daripada Amanz Network
nota kaki 2:

Saya tidak memiliki apa-apa kepentingan di dalam Amanz Network, Jurnal Faisal Tehrani, apatah lagi kepentingan dalam syarikat penaja Zinedine Zidane, Adidas dan pasukan bola sepak Perancis.

10.7.06

hujan malam semalam...

malam semalam lampu jalan tiada,
malam semalam amat gelap,
malam semalam hujan lebat,
malam semalam jalan licin,

malam semalam Suhaila terbabas,
malam semalam aku tergelincir,
malam semalam aku meluncuri tar licin,
malam semalam aku terbaring di atas jalanraya,

syukurlah aku memakai topi keledar,
syukurlah tiada kereta dibelakang,
syukurlah Suhaila tidak luka,
syukurlah aku masih bernafas.

Alhamdulillah.

nota: terima kasih kepada seorang penunggang motor tidak dikenali yang sanggup berhenti dikala hujan untuk bertanya keadaan aku.

9.7.06

Penghujung Piala Dunia 2006

Time to make friends
Say NO to racism

Piala Dunia 2006 sudah hampir sampai ke penghujungnya, selepas malam ini, tiadalah lagi pertelagahan antara rakan-rakan yang menyokong pasukan berbeza (kalau mahu tunggu Liga Perdana Inggeris pula ), tiadalah lagi restoran mamak rugi kerana semua orang yang memenuhi restorannya hanya memesan air kosong, tiadalah lagi dapat dilihat manusia memakai jersi Nakata, dan tiada lagi alasan untuk aku keluar malam dengan semangat hedonisme bersama rakan-rakan. Semuanya berakhir malam ini...

Zidane tidak mengecewakan


Selamat tinggal Zidane, semoga anda dapat menjulang Piala Dunia itu buat kali pertama dan terakhir sebagai kapten. Sesungguhnya anda layak menerimanya.

Penghargaan sepanjang Piala Dunia 2006:

Rakan Rasmi Piala Dunia 2006 aku:
Elyanho, Nazchenko, Sob, Kobe dan Mutto

Lokasi Rasmi Piala Dunia 2006 aku:
Ameerali, NASA, Rumah Ezin, Hartamas dan Petronas Ampang

Kenderaan Rasmi Piala Dunia 2006 aku:
Gen-2 Ezin, Kancil Ezin, Iswara Sob, MZ Moskito aku, Suzuki VS Kobe

Minuman Rasmi Piala Dunia 2006 aku:
Kopi O Ais, Teh O Ais, Teh Ais dan Air Kosong

Makanan Rasmi Piala Dunia 2006 aku:
Roti Kosong, Maggi Goreng, Keropok Twisties dan Telur Setengah Masak

Pasukan Rasmi Piala Dunia 2006 aku:
Perancis, Argentina dan German

Peristiwa Paling Menarik Dalam Permainan Sepanjang Piala Dunia 2006:
Rooney dikenakan kad merah oleh pengadil akibat pengaruh si penerjun bebas aktif, bagaimana agaknya Cristiano mahu hidup di MU selepas ini?

Peristiwa Paling Menarik Luar Permainan Sepanjang Piala Dunia 2006:
Berpindah randah dari satu kedai ke kedai yang lain dalam masa 90 minit kerana tiada tempat duduk semasa perlawanan Brazil menentang Ghana. Akhirnya kami terpaksa berpuas hati melihat perlawanan melalui televisyen biasa di sebuah kedai terpencil.

Iklan Menarik Sepanjang Piala Dunia 2006:
Iklan Power Root - "Terima kasih pawa rut;" "Saya menang motor."(sila cakap dengan suara meneran)
Iklan Ogawa iGallop - Faham-faham sendirilah. haha.

Suntingan pada 5:57 AM


Zinedine 'Yazid' Zidane, memberi harapan kepada kami, juga menarik kembali ia pergi.

8.7.06

itu salah wahai hedonis malang

ini sekadar cerpen spontan yang aku tulis di pagi sabtu yang tiada aktiviti ini. cerpen ini tiada plot dan rangka yang kukuh yang sepatutnya ditulis terlebih dahulu. cerpen ini sekadar lebih kepada membuat kerja berfaedah. rakan-rakan, bantulah aku, aku perlukan secebis kekuatan kamu semua! aku penat...

"Hoi!" Daus, mengejutkan Acu yang sedang termenung dari belakang. Acu tersentak, lamunannya hilang serta merta. "Kau ada rokok Daus?" Tanya Acu. Daus tersengih sambil menyeluk poketnya dan mengeluarkan kotak DUNHILL King Size yang masih berbalut plastik dan meletakkanya di sebelah Acu. "Wah, Dunhill empat belas, sebatang boleh? Nanti aku dah beli aku ganti balik." Acu membodek. "Ambillah, tak payah nak ayat manis, macam tak biasa pulak." Kata Daus.

Acu tanpa segan silu mengambil kotak itu dan membuka plastiknya dengan mudah. Di sisi kotak itu tertulis dengan huruf besar, 'AMARAN KERAJAAN MALAYSIA: MEROKOK MEMBAHAYAKAN KESIHATAN'. Acu mengetuk-ngetuk kotak itu ke atas tapak tangannya bagi memampatkan tembakau dalam setiap batang rokok itu. Setelah membuat dua perkara utama sebelum membuka kotak rokok itu, Acu berkata kepada Daus, "Kau ni memang nak aku mati awal lah Daus, tak sangka kau sanggup buat macam ini dekat aku," gurau Acu sambil tersengih. Daus yang leka menaip pesanan mesej ringkas di telefon bimbitnya sekadar tersenyum.

Acu memang tidak mengharapkan apa-apa reaksi daripada rakannya yang sedang sibuk menaip itu, tujuan gurauannya sekadar mengambil hati Daus. Acu membuka kotak rokok itu dan mengambil sebatang rokok yang berada di tengah-tengah. Acu mengambil penyala api berjenama Cricket di dalam saku seluarnya, lalu menyalakan rokok itu.

Asap yang penuh dengan Karbon Monoksida disedutnya dengan penuh nikmat lalu disembur keluar. Sememangnya sudah lama dia tidak membeli rokok sendiri, ini semua gara-gara harga rokok yang semakin meningkat. Dia pula sudah menghabiskan segala wang simpanannya untuk membeli hadiah kepada teman wanitanya.

Sambil mencuba untuk membuat asap yang dikeluarkan itu menjadi bentuk O, dia sekali sekala mencuri lihat kenderaan yang sibuk lalu lalang di jalan besar melalui tingkap bilik rumah sewa itu. Dia berharap Hafiz pulang cepat, dia amat lapar, dia tiada duit, Hafiz lah tempat dia bergantung sehinggalah pertengahan bulan ini.

Bersambung...

7.7.06

puisi dikala marah

wah rapatnya dan cantiknya senyuman bahagia di situ,
tidak ada ketidakselesaan langsung,
dan dengan bangga memaparkan kepada semua,
lihatlah!
lihatlah!
gembira?
puisi spontan aku dikala kemarahan yang amat sangat. walaupun tidak berapa menyerupai puisi sebenarnya. amat pelik, membuat puisi semasa marah? wahai rakan-rakan, pada pendapat kamu semua, aku dah mencapai tahap gila peringkat tertinggi kah? ada pakar sakit jiwa tak di sini?

semalam aku tertidur pada pukul 9 PM, dan terbangun pada pukul 11:30 PM, aku mengalami sebanyak empat mimpi yang amat pelik dalam masa dua jam setengah aku melelapkan mata.

adakah aku sudah mencapai tahap psiko yang lebih tinggi? adakah aku semakin gila? rakan-rakan, bantulah aku...


suntingan pada 7:21 AM - selepas menulis, aku tidur semula, koleksi mimpi semakin bertambah, antara mimpi-mimpi yang pelik itu, ada satu mimpi yang aku ingin ceritakan di sini. mimpi itu membawa aku berada di dalam satu kumpulan lelaki yang kebanyakannya berpakaian tuxedo, kemudian datang seorang lelaki membawa sebentuk cincin dan bertanyakan pendapat mereka tentang harga cincin itu. semasa lelaki itu bertanyakan harga kepada kumpulan aku, kami semua seperti dipukau dan beratur dalam bentuk bulatan. lelaki itu berjalan dan bertanya seorang demi seorang. ada yang mengatakan ianya nilai kereta mercedes, ada yang mengatakan ianya bernilai kereta kancil. latar belakang mimpi itu hanyalah hitam, aku tidak pasti juga dari mana datangnya cahaya. tidak lama kemudian aku tersedar, lalu membuat kira-kira tentang mimpi yang aku alami malam itu.

6.7.06

badut-badut ganas yang misteri



ini ialah lukisan pertama badut ganas aku, ia telah dipaparkan dalam penulisan aku bertajuk 'from human to real mutated human~' tahun lepas.




ini ialah lukisan-lukisan badut karya aku yang aku telah lampirkan bersama puisi bahasa asing yang bertajuk JE SUIS UN PIERROT yang jika diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu, bermaksud 'aku seorang badut.'



gambarajah badut yang telah dipotong seperti kek, memberi maksud 'aku bukan diri aku yang sebenar kepada dia jika aku membuang sifat itu hanya di depan dia, atas permintaan dia, aku tak mampu.' wah, aku juga terkejut dengan maksud panjang karya aku itu.



karya aku yang terbaru, inilah makhluk logam liut bertopengkan badut yang ganas mengikut gambaran pelukis. aumm aumm!

hari ini aku tidak dapat menulis dengan banyak, minda aku terganggu dengan beberapa perkara, sekadar untuk tidak menghampakan sesiapa yang selalu datang, aku tujukan lukisan terbaru itu untuk kamu semua. salam.

sila klik lukisan untuk melihat dengan lebih jelas