25.12.06

taip, padam dan taip semula.

aku taip, aku padam, aku taip, aku padam.

aku agak ini mesti angkara virus writer's block yang didatangkan khas melalui mel udara kepada aku....

oleh kerana daya penulisan aku sedang mengalami proses metamorfosis, aku hanya mampu menulis dalam bentuk point form....

nombor satu:
beberapa tahun dulu, pada tarikh ini, aku dengan pertama kalinya menyentuh Suhaila ku. badannya masih mantap ketika itu, tidak seperti sekarang....

nombor dua:
aku sudah dapat naskah jiwa kacau aku beserta jaket sekali. sesiapa mahu naskah tersebut sila hubungi aku melalui emel amanitium [at] yahoo [dot] com sebelum atau pada 30 haribulan disember 2006. harga siling rm23, tapi kita boleh bincang sebalik kelambu atau tirai lagi.

aku akan menceritakan perkara di sebalik tabir antara aku dan cerita-cerita aku dalam jiwa kacau itu dalam isen akan datang.

nombor tiga:
arsenal menang 6-2. pertama kali dalam musim ini pasukan tersebut menang dalam keadaan pintu gawang mereka bolos dulu. agregat paling tinggi untuk musim ini buat masa sekarang. semoga rafa tenang...

nombor empat:
banjir besar di johor. apa tindakan kau? baca surat khabar kemudian tidur? tengok berita kemudian masuk jamban?

semalam jimadie mesej aku. dia di kota tinggi, tengah buat dokumentari tentang banjir di johor.
"Yes. Kalau ada yg nk derma leh gak. aku bw bj 3 guni arini. ko jd koordinator sukarela aku la. teruk sini siot. aku tido kt pusat penempatan mangsa bnjir ni. letrik tadak. apatah lg internet."
dia sudah melakukannya, kau bila lagi? hulurkan sumbangan, ringankan beban.

18.12.06

episod jack dan sally

masa urusan...
aku sedang berurusan dengan muhammad syumul (nama sebenar).

dia memberikan dua bekas kepadaku. satu bekas berisi mentadak besar, dan satu bekas berisi mentadak kecil.

"ni lelaki dan ini perempuan.." kata muhammad syumul, pelat banglanya masih pekat.

aku mengangguk, tidak tahu apa-apa, aku hanya menerima tanpa banyak soal dan memberi bayaran yang telah dipersetujui.

beberapa hari selepas itu...
aku membaca panduan membela mentadak yang boleh didapati di alam siber.

Deroplatys desiccata (Malaysian Dead Leaf Mantis) betina mempunyai enam segmen di bawah abdomennya, manakala yang jantan mempunyai lebih...

aku mengira segmen di bawah badan sally, enam segmen kesemuanya. memanglah enam, kerana sally sememangnya betina.

kemudian aku mengira segmen di bawah badan jack, enam segmen kesemuanya... ahhh? enam segmen? wah, memang enam segmen...

hari ini...
hanya aku seorang yang mengetahui jantina sebenar jack, aku tidak mahu memberitahu sesiapa yang lain di dalam rumah aku bahawa aku telah ditipu pendatang asing yang bekerja di sebuah tempat pameran serangga.

tiba-tiba aku dipanggil ke bawah. ada sesuatu perkara berlaku kepada jack.

aku lihat, wah, nampaknya jack telah mengeluarkan Ootheca (telur mentadak.) mungkin dia sempat bersenggama dengan mentadak jantan yang sebenar sebelum proses jual beli malam itu.

dan akhirnya seisi rumah aku tahu bahawa jack bukanlah seekor mentadak jantan...

dan mereka juga sudah tahu aku telah ditipu mati-mati oleh pendatang asing yang bekerja di sebuah tempat pameran serangga.

muhammad syumul, lihatlah jari tengahku ini elok-elok!

15.12.06

bungkusan basah & jack dan sally

i. bungkusan basah
semalam aku berpulang-pulangan daripada berpergi-pergian,

hujan renyai-renyai semasa aku sampai di hadapan pagar rumah,

ada satu bungkusan yang basah dan tertampal pelekat air pos,

nama penuh aku tertulis diatas sampul bungkusan itu,

dua setem bunga merah jambu yang mempunyai angka 5 tertampal di situ,

aku buka sampul itu,

"WHOOAAAAA!..." aku sebut dengan makhrajnya di anak tekak.

ii. jack dan sally
aku sudah ada haiwan peliharaan sekarang.

mereka ialah mentadak hutan yang berwarna seperti daun kering.

aku mahu namakan mereka zaki dan salina, tetapi tidak kedengaran hip dan intelektual.

lalu aku namakan mereka jack dan sally.

aku letakkan mereka dalam satu bekas yang sama.

tetapi mereka selalu bergaduh.

dan aku tidak pasti, sama ada mereka tidak serasi ataupun mereka pengikut kultus S&M...

9.12.06

gerabak ngeri petang tadi

didalam sebuah gerabak tren yang menuju ke wangsa maju...

tiga gadis/makcik berketurunan india sedang bergelak ketawa. kemudian salah seorang daripada mereka, gadis india berbaju hijau bercakap dalam bahasa ibundanya sambil menjuihkan bibir kepada sepasang anak muda keturunan cina. dan kesemua gadis/makcik india itu melihat aksi-aksi pasangan anak muda itu dengan perasaan yang jijik. riak muka mereka sudah cukup untuk menggambarkan segalanya...

ada sepasang kekasih cina yang bermadu kasih di dalam tren, berkemungkinan mereka ketiadaan dana khas yang cukup untuk bermadu kasih di tempat terpencil. keadaan mereka seperti baru habis minum power root ali cafe sebanyak tiga tong. sambil berbisik-bisik, tangan si gadis menjalar-jalar ke sana ke mari...

aku hanya berdiam diri...

kemudian tangan si jejaka menjalar-jalar ke sana ke mari...

aku tak selesa, aku tak puas hati...

"Agak-agaklah, kalau nak raba, rabalah gadis kau tu, yang aku sekali dicabuli itu apasal?" aku cakap dalam hati.

langit mendung yang gelap menaungi perjalanan tren petang itu, mentari pun hampir terlena...

nota kaki:
aku mahu berpergi-pergian, betul-betul kali ni. episod kedua trilogi aku disambung sepulangnya aku nanti.

nota kaki 2:
selamat berjuang kepada parajurit gunners.

8.12.06

trilogi tragedi kasut nike 3

aku dibawa ke balai polis menaiki van sekolah. pengetua sekolah dan penyelia hal ehwal murid mengiringi ku kesana. bersama dua orang pelajar lain.

aku berpakaian seluar hitam dan baju hitam berkolar bulat. sebelum aku dibawa ke balai polis itu, pengetua sempat menasihati aku sebanyak dua pusingan.

sesampainya di balai polis, keteranganku diambil. sambil memberikan keterangan, aku bermain-main dengan gari yang diletakkan di atas meja.
.
.
.
dan tidak lama kemudian, tanganku tergari. pengalaman pertama aku.
.
.
.
dan sejak aku menjejakkan kaki keluar dari balai polis hari itu, sehinggalah sekarang, kasut berwarna kulit, berjenama terkenal dan berharga murah itu, tidak pernah aku temui semula...

nota kaki:
aku akan berpergi-pergian buat sementara waktu. usahlah kalian merindui aku.

6.12.06

trilogi tragedi kasut nike 1


hari itu memang hari yang indah, dan pertemuan aku dengan kasut itu juga pertemuan yang indah. berwarna kulit, berjenama terkenal, dan harganya murah. ringgit malaysia tiga puluh sahaja, dan bukannya dijual di uptown, downtown mahupun georgetown, tetapi di kompleks membeli belah yang berada di tengah-tengah bandaraya.

aku terus mengambil keputusan nekad untuk memiliki kasut itu. aku memberikan tiga not merah kepada gadis juruwang yang sedikit tomboi itu. hati aku gembira kerana dapat kasut berjenama dengan harga yang murah, ibarat rakyat malaysia yang tidak matang (tiada kaitan sebenarnya), aku tersengih seorang diri sambil membawa beg plastik berbau kedai yang terisi kasut baru aku.

dan tidak pernah aku menduga, rupanya kasut itu boleh menyebabkan aku dibawa ke balai polis dan tanganku tergari di hari muka...

4.12.06

shisha danau kota

malam itu di danau kota, shisha perisa grape mint telah dipesan sebagai penambah perisa muzakarah kami.

kami bertujuh terus dengan muzakarah kami, entah bagaimana tiba-tiba boleh menyimpang masuk perihal buku sastera dalam muzakarah kami.

watak A: haritu aku ada baca buku ni, karya penulis terkenal, siapa namanya ek? jap aku pikey...

dalam hati aku cuba menaakul penulis terkenal yang dimaksudkan oleh watak A. mungkin Faisal Tehrani, mungkin Nisah Haron, mungkin juga Zaid Akhtar. mungkin juga dia membaca karya-karya agung nukilan Arenawati, A. Samad Said ataupun Shahnon Ahmad. mungkin juga karya Jimadie Shah.

watak A: alaa, tu nama dia... aaa...

wah, mungkin juga dia membaca karya penulis kontroversi yang memenangi hadiah nobel, Orhan Pamuk. ataupun karya penulis yang dibenci umat Islam, Salman Rushdie, bukan terikut-ikut, mungkin hanya mengkaji.
.
.
.
dan shisha perisa perisa grape mint pun sampai. botolnya diletakkan betul-betul dihadapan aku. aku menyambut hujung paip itu dan aku menyedut wap-wap berperisa melalui saluran paip shisha itu...

watak A: aaaa, aku dah dapat, nama dia Ahadiat Akashah!
.
.
.
shisha perisa grape mint yang kami pesan itu, tiada perisa grape, hanya berperisa mint. perisa kosong dan sejuk. aku terasa pening-pening dan mual.

malam itu di danau kota, shisha perisa grape mint yang telah kami pesan menyebabkan aku hampir muntah-muntah...

iklan kaki:
ujana ilmu ada membuat tawaran menarik! pakej sasterawan, Kekasih Sam Po Bo, Cinta Sangkuriang Rindu Oedipus, serta Rindu Ibu. hanya rm50, dapatkan sebelum kehabisan.

iklan kaki 2:
jiwa kacau 2: masuk barisan sudah terbit. sesiapa yang mahu mendapatkannya boleh menghubungi saya menerusi email amanitium [at] yahoo [dot] com.

3.12.06

malam silva & bellamy sedunia

suatu malam yang tenang, ketikanya masa itu myvi, ego dan suhaila masing-masing kelihatan sedang membawa haluan sendiri.

suhaila meluncur laju di lebuh raya yang lengang, dan suhaila meluncur laju di sebelah ladang kuda. hon suhaila dibunyikan kepada kuda-kuda yang sedang meragut di padang itu sebagai tanda sokongan.

pada masa yang sama, di tempat yang berbeza, seorang lelaki bernama rosicky telah dijatuhkan oleh chimbonda. silva, rakan rosicky datang dan terus menyepak dengan kencang, dan tidak lama kemudian, kelihatan robinson rebah ke kanan...

suhaila sampai ke ibu pejabat brotherhood of hooligans (BOH). tuannya turun dengan bergaya, dan terus menuju kepada ahli-ahli BOH. mereka bersalaman, dan dia berkata, "dude, siapa score gol yang kedua tu?"

.
.
.
dan hanya tinggal kurang sebulan untuk dia bersama kehidupan begitu...

30.11.06

impian khairul irfan sobirin bin aziz

tersebutlah kisah suatu hari di majlis rumah terbuka encik khairul irfan sobirin bin aziz.

majlis tersebut diadakan dengan meriah sekali, encik khairul irfan sobirin bin aziz sendiri yang menyediakan hidangan itu. pertama kali memasak, tidak semestinya sedap, tapi dia telah mencuba sedaya upaya.

ramai pengunjung yang tidak lalu makan, tetapi mereka tetap makan, sebab menjaga hati rakan mereka (walaupun sebenarnya tidak berapa rapat sangat pun.) encik khairul irfan sobirin bin aziz perasan tentang reaksi kurang senang para tetamu itu. dia mula berasa sedih kerana menghampakan para tetamu jemputan rumah terbukanya.

chef amirul ingin memberi tunjuk ajar kepada encik khairul irfan sobirin, lalu dia dengan sedaya upaya cuba berkongsi pengalaman memasaknya yang sememangnya luas.

begitu juga chef wan ariff serta chef hassan salim yang pernah menjadi presiden persatuan chef-chef daerah ulu langat.

encik khairul irfan sobirin mendengar nasihat-nasihat itu dengan tekun, sesungguhnya dia memang ingin melakukan yang terbaik, baru dalam sesuatu bidang itu bukannya alasan untuk tidak memberikan yang terbaik.

tiba-tiba...

dengan lantang di hadapan para tetamu, encik zulkifli menempelak:
"woi, entah apa-apa masakan ni! tak sedap langsung! rasa tawar! plastik lagi sedap! ketua kampung aku boleh masak lagi sedap! masakan kau ntah apa-apa! tak sedap langsung! rasa tawar! plastik lagi sedap! ketua kampung aku boleh masak lagi sedap!" (ulang sehingga secukup rasa)

encik khairul irfan sobirin bin aziz berkata:
"minta maaf, aku akan cuba lagi sedap. ini masakan aku yang pertama, jangan serik dengan masakan aku ya?"

encik zulkifli senyap seketika... lalu, sambil mendabik dada:
"kau nak tau tak? aku punya resipi memasak jauh lebih sedap berbanding ini tau! tengok semua, ini gambar hidangan yang ada dalam buku resipi saya! tengok ni!"

encik khairul irfan sobirin bin aziz senyap, dia terkedu di hadapan para tetamu jemputan rumah terbukanya sendiri...

lalu dia berlalu ke dapur, dalam hatinya berkata, "baiklah, aku akan berusaha lebih kuat untuk maju dalam bidang masakan ini!"

selepas beberapa jam dia membuat kajian salah silap masakannya, datanglah encik zulkifli mendekatinya. hilang langsung kegagahannya di hadapan para tetamu tadi, tetapi gaya bongkak itu tetap wujud.

"encik khairul irfan, aku nak buat resipi yang aku cakap tadi tu lah, macam mana ek nak memasak? aku tau resipi je, apa maksud menumis ek? kalau aku letak garam dalam masakan, tak masin ke nanti? boleh tak kalau..."

apa yang patut encik khairul irfan buat ye?
(a) menyepak terajang encik zulkifli hingga dia lebam-lebam.
(b) menyepak terajang encik zulkifli hingga dia koma.

pengundi yang bertuah mungkin memenangi skuter edisi khas impian khairul irfan.

nota kaki:
cereka (cerita rekaan) impian khairul irfan bin sobirin ini hanya rekaan semata-mata, tiada kena mengena dengan yang sudah meninggal dunia, ataupun yang akan meninggal dunia.

nota kaki 2:
ada sesiapa tahu terjemahan ayat 'adab menegur' dalam bahasa yunani?

29.11.06

berlumba dengan awan hitam 1

tet tenet tenet tet tet (kesan bunyi telefon bimbit kedengaran)

aku bangun dari tidur, dan dengan langkah yang bermalasan, aku pergi mencapai telefon bimbitku.

watak E: dude, kau tido ke?
Amanitium: a'a, kenapa ek?
watak E: ni urgent, kobe...

suara watak E cemas, menyebabkan otak aku semacam disambar petir, mata aku yang terpejam dengan spontan tercelik. perasaan yang tidak menyenangkan muncul dalam hati aku. kobe adalah salah seorang daripada ahli brotherhood of hooligans kami, adakah dia ditimpa kecelakaan? adakah dia sudah...? dengan tidak semena-semena, minda aku mengimbas semula saat-saat kami bersorak gembira melihat jaringan demi jaringan arsenal terhadap liverpool. kemudian kenangan melihat perlawanan menentang west ham pula menerjah minda aku. malam itu kobe dimomok-momok oleh rakan-rakan kami yang terdiri daripada penyokong M.U. serta N.U.*

Amanitium: kenape dengan kobe?
watak E: motor die rosak, dia kat destina, aku takleh pegi sebab ada kelas.
.
.
.
.
Amanitium: ohh... ok... nanti aku pegi sane...

aku letak telefon bimbit di atas meja, kemudian mencapai tuala merah jambu aku dan terus menuju ke bilik air. sambil berjalan itu aku menyumpah seranah penulis skrip drama televisyen yang sentiasa mengambil pendekatan stereotype untuk adegan penyampaian berita buruk melalui telefon.


*N.U. = Newcastle United