4.4.06

twisted fate

GURU MAUT KERETA JATUH LUBANG

ALOR STAR: Hasrat seorang guru sebuah sekolah menengah di Pulau Pinang untuk menimang cahaya mata keempatnya, Mei depan, tidak kesampaian apabila dia terbunuh dalam kemalangan ngeri di Kilometer 11, Jalan Tanjung Musang, Langgar, dekat sini, awal pagi semalam. Abdul Jalil Ismail, 35, terbunuh selepas kereta Ford dipandunya terlanggar lubang saluran paip yang pecah di tempat kejadian menyebabkan keretanya terbabas dan terhumban ke dalam sawah...

Luahan hati balu guru nahas jalan raya

SAYA terpanggil untuk meluahkan perasaan atas kejadian yang menimpa Allahyarham suami saya, iaitu guru yang terkorban dalam kemalangan jalan raya pada 21 Mac 2006. Tulisan saya ini bukanlah bermaksud saya menentang takdir Ilahi, tetapi hanya ingin membawa masyarakat melihat apa sebenarnya berlaku di sebalik tragedi itu.
Allahyarham suami saya adalah guru yang begitu komited dengan tugasnya. Demi menyahut seruan Menteri Pendidikan pada ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak agar guru melanjutkan pelajaran untuk meningkatkan profesion perguruan, maka suami dan saya bersama-sama telah menyambung pelajaran peringkat ijazah dengan belajar sepenuh masa di universiti.
Kami hanya menjenguk anak-anak yang terpaksa ditinggalkan di rumah saudara pada hujung minggu.
Pulang sahaja ke Kedah, saya mendapat tawaran mengajar di sekolah yang berhampiran dengan tempat tinggal, tetapi Allahyarham suami saya kurang bernasib baik kerana perlu mengajar di Pulau Pinang.
Walaupun berat hati meninggalkan keluarga, beliau sanggup mengajar di sana. Namun, memandangkan beliau mempunyai tanggungjawab menjaga ayah dan ibu yang uzur serta anak-anak saudara yatim di kampung, maka tanggungjawab yang banyak itu memaksa beliau memohon untuk ditukarkan ke sekolah berdekatan.
Berikutan itu, suami saya telah membuat rayuan lebih daripada lima kali di Putrajaya, tetapi Allahyarham merasakan dirinya seolah-olah dipermainkan apabila pegawai di sana mengatakan sekejap ada jawatan kosong, sekejap tiada.
Suami saya telah berulang-alik banyak kali dari Kedah ke Putrajaya bagi mengesahkan kenyataan pegawai terbabit. Jika ada sedikit belas ihsan dan timbang rasa untuk menukarkan beliau mungkin kejadian yang menimpanya dapat dielakkan.
Saya juga ingin meluahkan rasa terkilan berikutan lubang saluran paip pecah yang menjadi punca kemalangan tersebut. Saya difahamkan sebelum kemalangan itu berlaku, aduan telah dibuat beberapa kali oleh penduduk di kawasan tersebut dan saluran paip itu telah dibaiki.
Namun begitu, kerja-kerja pembaikan yang dijalankan secara sambil lewa telah menyebabkan saluran paip tersebut pecah semula. Apa yang menyedihkan saya ialah semasa jenazah suami saya dibawa pulang melalui jalan tersebut untuk dikebumikan, pihak tertentu segera membaiki saluran paip dan menurap jalan tersebut kerana bimbang dipersalahkan oleh masyarakat.
Diharap apa yang saya luahkan ini akan diambil perhatian oleh semua pihak agar ia tidak dialami oleh anda sendiri atau orang yang anda sayangi.

- ISTERI TERKILAN,
Alor Star, Kedah.

the first part of the article is taken from the 22nd of march edition of berita harian, the second one is taken from today's (4th of april) copy of utusan malaysia. this is a real life story, 'isteri terkilan' in the article is my maklang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila fikir betul-betul dan periksa ejaan sebelum meninggalkan pesanan.