30.7.09

237 - era stagnasi peribadi

jika, suatu hari semasa kau sedang menjalani kehidupan kau secara lalai, kau tersedar bahawa diri kau sudah mencapai tahap usia dimana kau sudah terlalu liat untuk berubah, secara rohani dan jasmani, apakah yang kau akan fikirkan?

apabila sudah sampai masa itu, peribadi kau, sifat kau, gaya pertuturan kau, tahap intelektual kau, dan tahap amalan kau, semuanya akan menjadi liat dan kekal melekat.

kau bodoh sekarang, kau kekal bodoh di masa hadapan.

kau malas sekarang, kau kekal malas di masa hadapan.

kau fasiq sekarang, kau kekal fasiq di masa hadapan.

jika ditakdirkan kau akan dipanggilNya esok hari, adakah kau akan berpuas hati dengan ciri-ciri yang ada pada kau sekarang?

14.7.09

236 - sejarah ialah kisah pihak menang

Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dikenali dalam sejarah sebagai perdana menteri malaysia yang pertama.

Dan kebetulannya, dalam suratan sejarah, yang dipertuan agong pertama kita juga bernama Abdul Rahman, yakni Almarhum Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad. wajiblah kau malu jika kau tidak kenal beliau sedangkan gambarnya terhias di not-not yang kau simpan di dompet kau.

Kawan aku berkata, "kau pula, mahu dikenali dalam suratan sejarah sebagai apa?"

"aku tidak mahu menjadi sejarah, aku mahu menjadi masa depan."

Kadang-kadang, aku juga terkejut dengan cita-cita diri sendiri...

nota kaki: secara kebetulannya juga, aku berada di kedai india muslim bernama rahman's corner semasa menulis isen ini.

4.7.09

235 - perspektif romantis

jika kau dapat menghayati definisi sebenar perkataan 'romantis', kau tidak hanya akan terbayang makan malam disinari cahaya lilin atau aktiviti berdansa di bawah cahaya bulan.

romantis ialah suatu perisa manis yang memberi sifat kepada sesuatu ekspresi manusia.

perjalanan menguasai dunia juga boleh dianggap cita-cita yang romantis, itu pun, jika kau rasa menguasai dunia itu manis.

oh, aku lupa cerita tentang definisi perkataan manis. lain kalilah.

nota kaki: penantian dan kekeliruan juga boleh jadi perkara yang romantis, bergantung kepada perspektif kau.

30.6.09

234 - warisan

jika, ada satu lagu yang asyik bermain di minda kau buat kebelakangan ini, dan kau ada jurnal, apa yang kau akan buat?

kopi dan pasta? tiru dan tampal?

Anak kecil main api
Terbakar hatinya yang sepi
Airmata darah bercampur keringat
Bumi dipijak milik orang

Nenek moyang kaya raya
Tergadai seluruh harta benda
Akibat sengketa sesamalah kita
Cinta lenyap dek arus zaman

Indahnya bumi kita ini
Warisan berkurun lamanya
Hasil mengalir ke tangan yang lain
Pribumi merintih sendiri

Masa depan sungguh kelam
Kan lenyap peristiwa semalam
Tertutuplah hati terkunci mati
Maruah peribadi dah hilang

Kini kita cuma tinggal kuasa
Yang akan menentukan bangsa
Bersatulah hati bersama berbakti
Pulih kembali harga diri

Kita sudah tiada masa
Majulah dengan maha perkasa
Janganlah terlalai teruskan usaha
Melayu kan gagah di Nusantara

Lagu Warisan


lagu ini sudah terima banyak hukuman, dikatakan sebagai alat propaganda sebuah parti politik, menggalakkan perpecahan dan bermacam-macam lagi hasil fikiran sempit.

kalau kau benar-benar tahu sejarah kau, dan kau tidak anggap sejarah hanyalah matapelajaran yang diajar di sekolah, kau boleh dengar lagu ini. yang lain, sila dengar atas risiko sendiri.

pautan 1: lagu warisan versi unplugged, nyanyian orang-orang 'dewasa.'
pautan 2: lagu warisan versi koir, nyanyian anak-anak muda.

27.6.09

233 - cinta lenyap dek arus zaman

dan, jika kau mengerti sejarah sebenar nusantara kita, nescaya kau tidak akan tertutup pemikiran apatah lagi berpecah belah.

dan, jika kau tahu tentang hikayat tiga putera keturunan darah Iskandar Dzulkarnain yang telah menjadi Raja Minangkabau, Raja Tanjong Pura dan Raja Palembang, kau akan berasa lebih bangga mengenakan kulit sawo matang dan rambut hitam ikal kau itu.

dan, jika kau pernah hidup semasa tercetusnya konflik antara Ngah Ibrahim dan Raja Abdullah, atau konflik antara Kudin menantu Sultan Abdul Samad dan Raja Mahdi, atau konflik antara Sultan Abdul Rahman dan Sultan Hussein, tentu kau akan mendapat perasaan deja vu pada masa sekarang.

dan, tentu sekali jika kau mengerti tentang kerisauan Allahyarham Munshi Abdullah semasa Empayar Riau-Johor dibahagi-bahagi penjajah, kau akan lebih risau dengan masa depan tanah air kau sekarang.

dan, kau tidak akan tahu semua ini jika kau sibuk membaca novel-novel cinta atau sibuk menghafal perkataan-perkataan dari buku teks kau.

24.6.09

232 - terima kasih

jika, kau terserempak dengan manusia yang pernah memberi peluang kepada kau untuk menempuh satu jalan yang akhirnya telah mengubah gaya hidup dan pemikiran kau secara total, adakah kau akan sempat berterima kasih secukupnya, atau kau akan berasa gugup?

aku hanya mampu berfikir sejauh ini selang beberapa minit kemudian, ketika dia dan aku sudah membawa haluan masing-masing.

23.6.09

231 - kepercayaan

jika, kau diberitahu 1+1=2, semasa emosi kau memberitahu kau 1+1=7, kau akan memilih untuk mempercayai emosi kau.

ya, kau akan memilih untuk mempercayai emosi kau.

18.6.09

230 - buat kekasih...

kadang-kadang, bila tiada disisi, rindu,
kadang-kadang, bila sentiasa disisi, jemu,

yakinnya, aku tahu kau tahu apa isi hatiku.

kadang-kadang, terasa seperti ingin letak lirik lagu disini...

16.6.09

229 - buku basah

jika, kau yang sedang leka membaca buku di dalam jamban, secara tidak sengaja terjatuhkan buku itu, yang belum sampai seminggu pun dibeli, kerana percubaan kau untuk menampar nyamuk yang singgah di tubuh sasa kau, kau akan salahkan siapa?

nyamuk, penulis buku, atau diri kau?

15.6.09

228 - signifikasi harapan


harapan, itulah antara salah satu perkara yang membezakan manusia dan haiwan.

aku pernah hampir-hampir menjadi haiwan...

bagaimana pula dengan kau?