27.5.09

224 - latah atau tenang?

kau perasan tak? dugaan untuk kau, jika dihadapi orang lain, mungkin tak dianggap dugaan, malahan boleh dianggap rahmat. dan rahmat terhadap kau, jika dihadapi orang lain, mungkin tak dianggap rahmat, malahan boleh dianggap ujian.

dan, jika, kau diduga oleh dugaan, adakah kau akan melatah, atau cuba untuk bertenang? dan, adakah kau akan terus berusaha, walaupun di pengakhiran, kau tahu kau akan kalah?

25.5.09

223 - menjatuhkan kerjasama yang basah

dan, kemudiannya, apabila kau berasa kau sudah tiada masa dan minat untuk berdebat berkaitan perkara yang tidak menarik, di zaman teknologi canggih yang indah ini, kau boleh suruh orang lain debatkan untuk kau. dan, harapan aku, ialah ini yang terakhir berkaitan perkara ini.

ini ialah jurnal logam dan epal; (baca dengan nada "This is Sparta," dalam cerita 300) bukan jurnal hebahan maklumat kerjasama.

daripada segi matematik:
The Mathematics of a Pyramid Scheme - The Scam Explained

daripada segi konsep:
Pyramid Scheme
Multi-level marketing

daripada segi kajian terperinci:
Five Causal and Defining Characteristics of Product-Based Pyramid Schemes, or Recruiting MLMs - Report for Consumers, Regulators, and Legislators - 2008 Edition By Jon M. Taylor, Ph.D.

daripada segi agama:
Isu Shariah Dalam Perniagaan MLM - Ust Hj Zaharuddin Hj Abd Rahman

dan, itu sahajalah perspektif pemikiran aku yang sempit ini dapat lihat. itu kata mereka, bukan aku, jadi boraklah dengan mereka. dan, ini jurnal aku, maka aku berkuasa mutlak terhadap jurnal ini. maka, aku terpaksa bertindak dengan gagah untuk menamatkan segala perkara berkaitan kerjasama dalam jurnal ini sekarang.

24.5.09

222 - yang kerjasama

dan, apabila nafsu manusia dieksploitasi dengan umpan yang murah (air liur), dan apabila orang tidak habis sekolah nampaknya berjaya mengabui mata golongan terpelajar, kau tahu kau harus duduk diam, terus angguk dan mengangguk, berikan mereka harapan (seperti mana mereka berikan kau), dan sebelum perjumpaan itu tamat yang dimana kau tidak akan menjawab panggilan telefon dari mereka lagi selepas itu, kau harus habiskan duit orang 'kaya' itu sebanyak mungkin... (tips: lokasi perjumpaan ialah di kedai makan.)

221 - yang penting kerjasama lagi?

dan, bila suatu hari, rakan kau yang tinggal berjauhan dari tempat kau, menghubungi kau lalu berkata ingin datang ke mukim kau dan lepak bersama dalam seketika, adakah kau akan menolak? tidakkah kau akan berasa curiga?

dan, bila kau pergi berjumpa dengan dia, dan dia kelihatan segak, dengan kasut dan rambut tersisir rapi, berbeza dari keadaan azali dia sebagai rakan kau, adakah kau masih belum wujud perasaan curiga?

dan isi utama dialog permulaannya ialah pujian kurang logik terhadap kau, adakah kau akan mula rasa curiga? atau akan terus termakan umpan segar itu?

dan, lalu, seperti modus operandi orang lain juga, dia berkata, "pernah dengar luxor?"

nota kaki: walaupun nama perkara itu bukan luxor, namun aku sengaja tukar namanya supaya selari dengan isen sebelum ini.
nota kaki 2: aku sudah tukar setting komen, agar kita semua boleh berkenal-kenalan, tiada niat langsung untuk mencabar si anonymous supaya menjustifikasikan kewujudan alat kelaminnya, dan tidak menggunakan nama anonymous lagi.

22.5.09

220 - baju aku, jangan ganggu

jika, baju kau yang cantik, kau amat sayangi dan sudah lama dimiliki, tiba-tiba disukai orang lain juga yang baru pertama kali melihat baju kau itu, dan kemudian cuba mencuri baju itu dari kau, adakah kau akan mengambil langkah yang lebih berjaga-jaga apabila berurusan berkaitan baju kau itu?

apatah lagi, jika ampaian tempat menyidai baju kau itu lebih dekat dengan lokasi orang yang juga menyukai baju kau berbanding lokasi diri kau sendiri?

kau tentunya akan lebih selesa menjemur baju cantik kau itu di dalam rumah kan? atau kau lebih suka membiarkan orang itu memerhatikan baju kau sepanjang masa dengan pelbagai perkara yang bermain di fikirannya?

dan walaupun tiba-tiba dia berkata dia sudah bertukar selera dan lebih meminati baju lain, adakah kau akan terus berasa selamat? atau masih terus curiga?

tentulah kau perlu menjaga baju kau dengan lebih berhati-hati, baju kau tidak akan ditiup angin ke arah si peminat baju kau itu, tetapi orang itu yang akan berusaha sedaya-upaya ke arah baju kau itu. dan bukankah kau ialah si bodoh jika berdiam diri?


nota kaki: aku sayang baju aku.

16.5.09

219 - jus tomato setengah gelas

dan, jika suatu hari, baru kau mengetahui bahawa kau tidak mengetahui sepenuh-penuhnya seseorang yang selama ini kau anggap kau mengetahui sepenuh-penuhnya, adakah kau juga akan curiga dengan orang-orang lain yang juga kau anggap kau mengetahui sepenuh-penuhnya?

15.5.09

218 - yang penting kerjasama

jika, suatu hari, kawan kau yang sudah lama kau tidak berlepak bersama tiba-tiba cuba mengajak kau untuk melihat bola bersama-sama walhal sebelum ini, hanya kau yang mengajak mereka melihat bola bersama-sama kau dan rakan-rakan kau yang lain.

dan mereka selalunya senantiasanya sibuk dan jarang-jarang mampu meluangkan masa bersama kau dan rakan-rakan kau yang lain.

namun, pada suatu hari itu, mereka tidak sibuk dan mereka mengajak kau melihat bola bersama mereka.

dan kau tanpa syak wasangkanya terus pergi kepada mereka tanpa mengetahui persamaan keadaan diri kau masa itu dengan tikus yang diumpan keju.

dan, apakah perasaan kau itu akan mengalami kuasa putaran medan magnetik apabila mereka berkata, "pernah dengar luxor?"

14.5.09

217 - degil dan berduit

seperti yang hampir kau semua ketahui, dan sebilangan kau semua tidak ketahui, aku dulu pernah menjaja hasil kerja amatur yang comel ke sana ke mari. aku berjaya memaksa sebilangan mangsa untuk membeli hasil kerja amatur beramai-ramai itu. aku berjaya memaksa ramai mangsa membeli hasil kerja amatur itu tanpa memikirkan hati dan perasaan mereka apabila menghayati hasil kerja amatur itu.

semalam, ada orang mesej aku untuk memastikan akaun bank yang sepatutnya dideposit wang hasil kerja amatur. perkara itu amat memeranjatkan aku, perkara hampir tiga tahun masih diingat dan mahu dibayar. mengikut perspektif perakaunan, itu sudah dikira hutang lapuk dan di write off dalam penyata kewangan. walau aku berdegil untuk menghalalkan, dia lebih berdegil untuk membayar. akhirnya, seperti biasa, aku mengalah. aku terima sahaja.

dan kepada yang lain-lain yang masih berhutang dengan aku, aku halalkan hutang aku kepada kau orang, eh, hutang kau orang kepada aku sebenarnya. haha.

dan terima kasih juga kepada sesiapa lain yang masih berdegil mahu bayar...


hasil kerja amatur (maksud aku, bahagian aku)
Rest In Peace.

11.5.09

216 - perangkap rusa dan cemeti

jika, kau ialah seorang yang lemah lembut serta tidak kasar dan tidak ganas, sangat bersabar dan tidak mudah marah atau mengikut perasaan, juga tidak mudah berasa tercabar, serta selalu bertolak ansur, adakah kau ialah perempuan? ataupun lelaki lembut? (yang juga dikenali dalam bahasa inggeris sebagai gentleman.)

adakah orang yang lebih berdiam diri itu kurang gagah berbanding orang yang kurang berdiam diri? adakah orang yang membabi buta itu lebih perwira berbanding yang tidak membabi buta?

dalam dunia aku (dan kau juga), pragmatisme sentiasa disanjung jauh lebih gagah berbanding idealisme, maka, kau dan aku boleh lupakan saja apa yang kau baca dan aku tulis sebentar tadi.

marilah kita menjadi gagah juga, marilah membawa perasaan kurang senang kepada orang lain!


nota kaki: tajuk perangkap rusa dan cemeti tiada membawa erti, kerana aku sudah lupakan apa yang aku tulis sebentar tadi dan kau pula sudah lupakan apa yang kau baca...
nota kaki 2: mungkin, jika kau pegang cemeti, kau akan kelihatan gagah?