30.12.09

250 - puDina di suku ribu

PUDina - Pidato Untuk Dina

BISMILLAHIR RAHMANIR RAHIM,
dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang;

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Yang saya cintai, dimana pidato ini ditujukan kepadanya, saudari milikku, Saudari Epal; Yang saya hormati, pembaca-pembaca yang tidak terlibat langsung dalam hal ini, dan terakhir sekali, memperkenalkan, Yang penulisannya selalu kurang difahami, diri saya sendiri, Encik Logam.

Pertemuan saya dengan Saudari Epal bermula sans-direct-contact, di tempat mana anak-anak muda separa liar dan tidak buta IT pada zaman itu berkeliaran, dan jika saya tidak menyambung pengajian separa tinggi saya di selatan tanah air, nescaya kami tidak akan bertemu pada waktu itu.

Walaubagaimanapun, tidak perlulah saya berkongsi pengalaman bersama kami yang selanjutnya disini, kerana saya yakin dan percaya, tuan dan puan tidak akan dapat memaafkan diri tuan dan puan selepas membaca pengalaman kami tersebut.

Di ruang yang terbentang luas ini, ingin saya memberitahu seluruh dunia bahawasanya, saya, Encik Logam, amat bahagia dalam hubungan saya dengan Saudari Epal, dan saya berharap, kami akan terus gembira bahagia bersama tidak kiralah tahun-tahun dan alam-alam yang akan kami tempuhi bersama kelak. Cabaran sentiasa akan wujud, bagaimana kita mengharungi cabaran itu bersamalah yang akan menentukan hala tuju kita selepas ini.

Semoga 5 tahun pengalaman bersama ini akan menjadi tiang asas kepada sebuah perhubungan yang kekal abadi dan sejahtera. Semoga Allah memakbulkan doa kita. Amin.

nota kaki: logika logam psikotik dan domestica sudah tamat di sini, setelah suku ribu tulisan-tulisan yang terkadang kurang bermakna, terkadang terlebih makna, kami menyusun sepuluh jari meminta maaf jika ada apa-apa yang menyinggung dan mengundang kemarahan tuan dan puan; yang baik itu datang dari Allah dan yang buruk itu datang dari diri kami sendiri. Semoga kita berjumpa lagi di reinkarnasi lain. IN SHA' ALLAH.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.



9.12.09

249 - kerna ketinggalan atau terkandas

aku* cemburu dan malu, kepada dan tentang, banyak perkara di dunia ini, amat.

dan kadang-kadang aku rasa diriku ini kerdil dalam alam yang amat luas ini, amat.

oh, ya, memang diriku ini kerdil dalam alam yang amat luas ini, amat.

nota kaki: perkataan 'aku' juga boleh-ditukar-antara (interchangeable) dengan perkataan 'kau' jika kau pun manusia.

20.11.09

248 - wright, armstrong, dan gorsky.


nama adik beradik wright tidak akan termasuk dalam senarai tokoh yang perlu dihafal namanya oleh pelajar-pelajar darjah empat jika adik beradik itu hanya terfikir untuk mencipta alat pengangkutan di atas udara tanpa tindakan susulan.

nama kau tidak akan dikenali generasi masa hadapan jika kau hanya terfikir untuk menakluki dunia (atau apa-apa perkara lain pilihan kau) tanpa tindakan susulan.

nama kau hanya akan diingati oleh anak-anak dan keturunan terdekat kau (itu pun sekiranya kau ada rezeki dan berkemampuan), dan selepas generasi cucu cicit kau, nama kau akan dilupakan di atas muka bumi.

kau mahu jadi watak Neil Armstrong atau jirannya, Encik Gorsky dalam mitos urban mereka?

12.11.09

247 - tammat

baru aku rasa apa kawan-kawan aku rasa 2-3 tahun lepas. lambat kan?

8.11.09

246 - seribu kali

ingatan untuk diri sendiri:

walaupun kau mampu melakukan sesuatu perkara itu dengan terbaik untuk seribu kali, tidak semestinya kau tetap akan melakukan perkara itu dengan terbaik untuk seribu satu kali, apatah lagi sekiranya kau baru melakukan sesuatu perkara itu dengan terbaik baru sebanyak lima kali, tidak semestinya kau tetap akan berjaya melakukan perkara itu dengan terbaik untuk kali ke enam.

ianya bukan takdiran, ianya hasil usaha.

18.10.09

245 - jaguh kampung

jika kau ialah orang yang paling gagah di kampung kau dan layak ke istana untuk bersaing kegagahan dengan orang-orang gagah lain, dan meninggalkan keselesaan status gagah kau di kampung dan menerima cabaran baru yang kau belum tahu tahapnya, apakah pilihan kau?

tinggalkan kampung atau tinggalkan cabaran?

21.9.09

244 - belasungkawa

khususnya kepada Allahyarham Abdul Halim @ Abdul Khalid bin Noordin @ Udin, wan (datuk) aku yang telah meninggal dunia pada 26 Ramadhan 1430 yang baru lepas.

umumnya kepada semua muslimin muslimat yang telah pergi meninggalkan kita dan tidak berpeluang lagi untuk melihat Ramadhan yang akan datang.

Al-Fatihah.

9.9.09

243 - adab menerima khabar positif

dan kadang-kadang, apabila kau sibuk berfikir yang kau ialah orang paling malang di dunia, kau terlupa yang ada orang yang lebih teruji dari kau. kau tahu kisah Nabi Ayub?

dan apabila kau bertenang dan berfikir, sebenarnya kau sedang selangkah maju ke arah khabar positif.

mana aku tahu perkara ini? aku tidak tahu, aku percaya.

5.9.09

242 - adab menerima khabar negatif

jika kau menerima khabar negatif dari segi emosi (yang belum pasti positif negatifnya dari segi rasional), kau harus bersabar dan terimanya dengan tenang.

walaupun ketika itu kau sedang ditimpa penyakit yang memang menghantui kau sejak sekian lama, yang juga memberi impak negatif kepada emosi kau, (dan sebenarnya setiap penyakit itu ialah kifarah dosa) maka kau cubalah untuk terus bersabar.

dan ada tikanya kemudian kau ditimpa khabar negatif lagi, pada masa itu, silalah kau bersabar lagi. dan jika kau rasa jantung kau hampir meletup dan hati kau hampir cair, itu hanyalah permainan minda kau.

kelakar bukan kalau kemudian kau ditimpa khabar negatif seterusnya pula? realiti sememangnya ialah perkara yang cukup kelakar, lawak yang kejam.

selamat tinggal maruah dan kepercayaan diri sendiri. semoga berjumpa lagi.

2.9.09

241 - bayangan seorang darth vader

percaya atau tidak, semasa awal zaman persekolahan asrama dulu aku ialah seorang yang baik dan naif. juga berbudi pekerti dan selalu dibuli.

hal ini berlarutan sehinggalah suatu hari, ada seorang rakan berkata, (lebih kurang begini), "ada empat jenis orang dalam peringkat pergaulan kita ni, iaitu (mengikut peringkat pangkat sosial) jahat bijak, skema bijak, jahat bodoh, dan skema bodoh."

"kau dan aku tahu kau tidak bijak," sambungnya lagi. aku tidak mengiakan, juga tidak menafikan. "takkan kau mahu jadi skema, dan bodoh?"

kau pernah tengok filem dwi-trilogi starwars? keadaan di atas adalah sama seperti semasa darth sidious menghasut anakin skywalker untuk memasuki kultus sith yang gelap.

ya, kisah aku seterusnya lebih kurang sama dengan kisah darth vader, yang masih kurang hanyalah light sabre.